Terkini
Pelajar sekolah ada pendapatan sendiri, wajib bayar zakat fitrah – Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Seorang bapa tidak wajib membayar zakat fitrah bagi anaknya yang mempunyai kemampuan menjana sumber pendapatan sendiri sekalipun anak itu masih bersekolah.

- Seorang bapa tidak wajib membayar zakat fitrah bagi anaknya yang mempunyai kemampuan menjana sumber pendapatan sendiri sekalipun anak itu masih bersekolah.
- Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (WP) berkata ini kerana keadaan tersebut menyebabkan kewajipan bagi seorang bapa untuk menafkahi anaknya terputus.
- Bapa tersebut perlu menerangkan kepada anaknya mengenai kewajiban ke atasnya untuk menunaikan zakat fitrah berkenaan.
- “Sekiranya anak tersebut mempunyai kemampuan untuk bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri, maka bapa tidak boleh membayar zakat fitrah untuknya melainkan mendapat keizinan daripada anaknya,” katanya menerusi artikel diterbitkan di laman web rasminya.
- “Perbahasan ini dapat dilihat melalui kenyataan Imam Ibn Hajar al-Haitami dan Syeikh Zakaria al-Ansari: Tidak wajib bagi seorang bapa untuk membayar zakat fitrah untuk anaknya yang mempunyai makanan asasi yang mencukupi untuk siang hari raya dan malamnya sahaja atau dia mampu untuk mencari sumber pendapatan sendiri walaupun masih kecil kerana situasi itu menyebabkan terputusnya tanggungjawab nafkah bapa terhadap anaknya itu,” katanya.
- Pejabat Mufti WP berkata demikian kepada persoalan sama ada seorang bapa wajib membayar zakat fitrah untuk anaknya yang masih bersekolah atas dasar tanggungan atau si anak perlu keluarkan sendiri zakat kerana sudah pandai mencari pendapatan sendiri menggunakan kemudahan teknologi sekarang dan kadangkala pendapatan diperolehi melebihi si bapa.
KUALA LUMPUR — Seorang bapa tidak wajib membayar zakat fitrah bagi anaknya yang mempunyai kemampuan menjana sumber pendapatan sendiri sekalipun anak itu masih bersekolah.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (WP) berkata ini kerana keadaan tersebut menyebabkan kewajipan bagi seorang bapa untuk menafkahi anaknya terputus.
Sehubungan itu, bapa tersebut perlu menerangkan kepada anaknya mengenai kewajiban ke atasnya untuk menunaikan zakat fitrah berkenaan.
“Bagi konteks seorang bapa dan anak, seorang bapa perlu membayar zakat fitrah bagi anaknya sekiranya masih lagi di bawah tanggungannya.
“Sekiranya anak tersebut mempunyai kemampuan untuk bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri, maka bapa tidak boleh membayar zakat fitrah untuknya melainkan mendapat keizinan daripada anaknya.
“Keadaan ini dapat dilihat melalui apa yang dinyatakan Syeikh Zakaria al-Ansari dalam Asna al-Matalib: Bagi sesiapa yang tidak diwajibkan nafkah ke atasnya maka tidak wajib zakat fitrah untuk anaknya itu. (Rujuk Asna al-Matalib 388/1).
“Oleh kerana itu, seorang kanak-kanak yang mempunyai kemampuan untuk menjana sumber pendapatan sendiri termasuk juga dalam perbincangan yang dinyatakan,” katanya menerusi artikel diterbitkan di laman web rasminya.
Pejabat Mufti WP berkata demikian kepada persoalan sama ada seorang bapa wajib membayar zakat fitrah untuk anaknya yang masih bersekolah atas dasar tanggungan atau si anak perlu keluarkan sendiri zakat kerana sudah pandai mencari pendapatan sendiri menggunakan kemudahan teknologi sekarang dan kadangkala pendapatan diperolehi melebihi si bapa.
“Perbahasan ini dapat dilihat melalui kenyataan Imam Ibn Hajar al-Haitami dan Syeikh Zakaria al-Ansari: Tidak wajib bagi seorang bapa untuk membayar zakat fitrah untuk anaknya yang mempunyai makanan asasi yang mencukupi untuk siang hari raya dan malamnya sahaja atau dia mampu untuk mencari sumber pendapatan sendiri walaupun masih kecil kerana situasi itu menyebabkan terputusnya tanggungjawab nafkah bapa terhadap anaknya itu,” katanya.
Malah, menurut Pejabat Mufti WP dalam keadaan sebegini tidak sah zakat fitrah yang dibayar seorang bapa untuk anaknya apabila sudah mempunyai kemampuan menjana sumber pendapatan sendiri.
Katanya, kewajiban membayar zakat fitrah tidak meletakkan syarat seseorang itu mesti dewasa, sebaliknya syarat wajib zakat fitrah adalah Islam, waktu (malam hari raya dan siangnya) dan mempunyai kemampuan. — The Merdeka Times
