Connect with us

Terkini

(VIDEO) Syarikat pembekal senjata nafi senjata di DSA, NATSEC digunakan Israel di Palestin

Wakil BAE Systems menegaskan tiada senjata yang dipamerkan di pameran Defence Services Asia (DSA) dan National Security (NATSEC) Asia 2024 di sini digunakan tentera rejim zionis Israel di Gaza, Palestin.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
A.R. Khan

Published

on

Foto: Pameran Defence Services Asia (DSA) dan National Security (NATSEC) Asia 2024 di kompleks MITEC.

KUALA LUMPUR – Wakil BAE Systems menegaskan tiada senjata yang dipamerkan di pameran Defence Services Asia (DSA) dan National Security (NATSEC) Asia 2024 di sini digunakan tentera rejim zionis Israel di Gaza, Palestin.

Perkara itu dimaklumkan petugas BAE Systems, Paul Roberts dan jurucakap komunikasinya, Simon Astley di kompleks MITEC ketika ditemuramah wartawan The Merdeka Times (TMT) di sini hari ini.

“Manakah atau apakah ada produk anda yang dipamerkan, secara aktif digunakan dalam operasi di (Gaza) Palestin oleh kerajaan Israel?,” soal wartawan TMT.

“Kami tidak membekalkan apa-apa yang (ada) di sini ke Palestin,” kata Simon spontan menjawab soalan wartawan TMT.

Paul pula enggan mengulas lanjut akan persoalan itu.

“Malangnya, kami tidak dapat mengulas mengenainya,” kata Paul ringkas.

Terdahulu, Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) menerusi kenyataan media pada 5 Mei lalu menamakan MBDA (BAE Systems), Aim Point, Colt, L3Harris, Leupold, Shield AI, dan Leonardo sebagai penyumbang senjata kepada rejim Israel dan terlibat dalam ‘genosid dan pembunuhan kejam rakyat Palestin’.

Usaha menemubual syarikat persenjataan terbabit mengenai perusahaan mereka dan isu semasa ditolak atas alasan enggan ditemubual atau ketiadaan jurucakap media.

Tinjauan TMT juga mendapati kemeriahan pengunjung di pameran DSA & NATSEC Asia 2024 tertumpu kepada reruai yang memberikan peluang kepada pengunjung menaiki kenderaan atau mencuba senjata selamat selain reruai senjata dalam bentuk pengalaman games yang dilihat paling memenangi hati pengunjung. – The Merdeka Times

Sokong TMT media berani, benar & bebas di https://support.themerdekatimes.com/

Author