Gaya Hidup
iPhone 16e, iPhone ‘bajet’ harga bermula RM2,999

Apple telah mengumumkan ahli terbaharu dalam keluarga iPhone 16 iaitu iPhone 16e. Seperti yang dikhabarkan sebelum ini, model ini merupakan iPhone “bajet” baharu yang menggantikan iPhone SE generasi ke-3.
Rakyat Malaysia boleh membuat pra-tempahan iPhone 16e bermula esok dan berikut antara maklumat yang anda perlu tahu.
Harga Rasmi iPhone 16e di Malaysia :
128GB – RM2,999
256GB – RM3,499
512GB – RM4,499
Peranti ini hanya ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu Hitam dan Putih. Bagi perlindungan tambahan, anda boleh dapatkan AppleCare+ harga RM499 untuk perlindungan selama dua tahun.
Pra-tempahan iPhone 16e akan bermula di Malaysia pada jam 9 malam esok, Jumaat, 21 Februari 2025. Peranti ini akan dilancarkan secara rasmi pada Jumaat berikutnya, 28 Februari 2025.
Secara ringkasnya, iPhone 16e kelihatan seperti iPhone 14 yang diperbaharui tetapi hanya mempunyai satu kamera di belakang dan suis senyap digantikan dengan Butang Tindakan. Dimensi keseluruhannya sama dengan iPhone 14 tetapi iPhone 16e sedikit lebih ringan pada 167g. Ia menampilkan rekaan aluminium dengan pelindung seramik di bahagian depan dan belakang.
Di bahagian hadapan, peranti ini dilengkapi dengan paparan 6.1″ Super Retina XDR yang menggunakan panel OLED 60Hz dengan resolusi 2532×1170 piksel. Kecerahan maksimum mencapai 800 nits dan 1,200 nits untuk HDR.
Di bahagian dalaman, iPhone 16e dikuasakan oleh cip Apple A18 yang sama seperti iPhone 16 dan iPhone 16 Plus dengan CPU 6-teras. Bagaimanapun, iPhone 16e mempunyai satu teras GPU kurang (iPhone 16: 5-teras GPU, iPhone 16e: 4-teras GPU). Seperti dijangka, peranti ini turut menyokong Apple Intelligence.
Dari segi kamera, iPhone 16e masih dilengkapi dengan satu kamera 48MP f/1.6 Fusion dengan penstabilan imej optikal. Ia turut menawarkan tangkapan Telefoto 2x 12MP melalui pemangkasan sensor. Kamera belakang ini menampilkan ciri kamera flagship termasuk Photonic Engine, Deep Fusion, Smart HDR 5, Mod Potret dengan Kawalan Kedalaman, Mod Malam, Pengurangan Bunyi Angin, Audio Spatial dan rakaman stereo.
Kamera utamanya juga mampu merakam video 4K Dolby Vision sehingga 60fps, video gerak perlahan pada 1080p pada 240fps dan mod malam dengan rakaman time-lapse. Namun, ia tidak mempunyai mod aksi dan mod sinematik.
Untuk swafoto, iPhone 16e dilengkapi dengan kamera 12MP f/1.9 TrueDepth yang juga menyokong Smart HDR 5, Mod Malam dan rakaman video 4K Dolby Vision.
Juga perlu diberi perhatian, iPhone 16e dilengkapi dengan modem C1 5G rekaan dalaman Apple yang dikatakan sebagai modem paling cekap tenaga setakat ini. Peranti ini masih mengekalkan pembesar suara stereo dan mempunyai penarafan kalis air dan debu IP68.
Meskipun menjadi model bajet, iPhone 16e menawarkan hayat bateri lebih lama sehingga 26 jam video playback. Sebagai perbandingan, iPhone 16 mempunyai sehingga 22 jam, manakala iPhone 16 Plus mencapai sehingga 27 jam video playback.
iPhone 16e menyokong pengecasan melalui USB-C dan boleh mengecas sehingga 50% dalam masa 30 minit dengan penyesuai kuasa 20W yang dijual berasingan. Ia juga menyokong pengecasan wayarles Qi sehingga 7.5W tetapi tidak mempunyai sokongan MagSafe. Peranti ini menggunakan sistem operasi iOS 18 secara terus daripada kotak.
Bagi mereka yang mencari iPhone dengan harga lebih berpatutan tetapi masih menawarkan pengalaman iPhone terkini, iPhone 16e mungkin pilihan yang menarik.-The Merdeka Times
