Agama
Zakat guna kripto harus jika cukup syarat
- “Dari sudut hukum syarak, sesuatu boleh di zakatkan jika ia mempunyai nilai ekonomi sebenar dan dimiliki secara sah, walaupun tidak diiktiraf sebagai mata wang rasmi,” kata Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman.
- Mohd Sukki berkata, majoriti ulama kontemporari berpandangan bahawa kripto termasuk dalam kategori māl mutaqawwim, iaitu harta yang bernilai dan boleh dimiliki secara sah.
- Dalam pada itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil juga berpandangan sama, menjelaskan aset digital tersebut boleh dianggap sebagai harta tidak ketara (intangible asset) dan layak dikenakan zakat sekiranya memenuhi syarat-syarat tertentu.
KUALA LUMPUR – Pembayaran zakat menggunakan mata wang kripto adalah harus dan sah dari sudut syarak sekiranya memenuhi syarat-syarat zakat yang ditetapkan, kata Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman
Menurut beliau, walaupun Bank Negara Malaysia (BNM) tidak mengiktiraf kripto sebagai mata wang sah, namun ia telah diiktiraf sebagai aset digital oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
“Dari sudut hukum syarak, sesuatu boleh di zakatkan jika ia mempunyai nilai ekonomi sebenar dan dimiliki secara sah, walaupun tidak diiktiraf sebagai mata wang rasmi.
“Maka, kripto tetap boleh menjadi subjek zakat (māl zakawi) sekiranya memenuhi syarat-syarat zakat,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times.
Mohd Sukki berkata, majoriti ulama kontemporari berpandangan bahawa kripto termasuk dalam kategori māl mutaqawwim, iaitu harta yang bernilai dan boleh dimiliki secara sah.
“Zakat ke atas kripto wajib dikeluarkan sekiranya ia cukup nisab bersamaan nilai 85 gram emas, dan cukup haul iaitu dimiliki selama setahun penuh.
“Selain itu, kadar zakat yang dikenakan adalah sebanyak 2.5 peratus daripada nilai semasa,” ujarnya.
Tambah beliau, beberapa Majlis Agama Islam negeri juga telah memperkenalkan fatwa membenarkan pembayaran zakat menggunakan kripto, namun ia hanya harus sekiranya memenuhi syarat seperti kripto tersebut diiktiraf sebagai harta (māl) yang bernilai dan halal dimiliki.
“Nilainya jelas dan boleh diukur berdasarkan harga pasaran semasa; zakat tersebut diterima oleh institusi zakat yang mempunyai sistem atau dompet digital rasmi; dan transaksi dilakukan dengan penuh ketelusan dan keselamatan nilai,” katanya.
Mengulas pandangan fuqaha, Datuk Sukki berkata para ulama telah mengemukakan dua pendekatan terhadap hukum zakat ke atas mata wang kripto iaitu kripto diqiyaskan kepada zakat Nuqud seperti dinar dan dirham serta kripto dianggap sebagai aset digital dan zakatnya diqiaskan kepada zakat perniagaan Urud Tijarah.
“Kripto ialah aset digital yang mempunyai nilai ekonomi dan boleh menjadi objek zakat sekiranya memenuhi syarat-syarat zakat. Mata wang kripto dan aset digital adalah termasuk dalam kategori harta kerana ia mempunyai sifat ‘al-Mutaqawwim’ (mempunyai nilai) dan diwajibkan zakat berdasarkan dalil-dalil umum kewajipan zakat terhadap harta,” katanya lagi.
Beliau turut menjelaskan bahawa walaupun kripto bukan wang sah dari segi undang-undang negara mahupun syarak, ia tetap dikategorikan sebagai aset pelaburan atau sekuriti berdasarkan Warta Kerajaan Persekutuan oleh Kementerian Kewangan.
Beliau menyarankan agar institusi zakat terus memperkasakan sistem dompet digital patuh syariah bagi memudahkan umat Islam menunaikan kewajipan zakat selaras dengan perkembangan teknologi semasa.
Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil juga berpandangan sama, menjelaskan kripto bukan berbentuk mata wang tetapi aset digital tersebut boleh dianggap sebagai harta tidak ketara (intangible asset) dan layak dikenakan zakat sekiranya memenuhi syarat-syarat tertentu.
Katanya, walaupun mata wang kripto tidak berbentuk fizikal seperti wang tunai atau emas, ia tetap memiliki nilai dan boleh diakses sebagai harta.
“Apabila mencukupi syarat dalam zakat perniagaan maka ia boleh dibawa masuk ataupun dikategorikan sebagai dalam zakat perniagaan sebanyak 2.5 peratus kerana berurusan dengan kripto yang boleh dianggap sebagai harta.
“Harta bukan hanya dalam bentuk fizikal, harta juga boleh datang dalam bentuk kita katakan hak cipta, benda yang ‘intangible asset’ yang tak dapat dirasa,” katanya kepada The Merdeka Times.
Beliau menegaskan bahawa sekiranya kripto digunakan untuk tujuan perniagaan dan menjana keuntungan, ia sewajarnya dikenakan zakat seperti mana-mana aset lain yang digunakan untuk tujuan yang sama.
Namun, tambahnya, pelaksanaan perkara tersebut tidak boleh dipisahkan daripada kerangka undang-undang sedia ada, terutamanya berkaitan bidang kuasa Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai pengawal selia kewangan negara.
Fauwaz juga menekankan keperluan kerjasama dengan pihak berkuasa seperti BNM dalam menangani isu tersebut agar tidak berlaku percanggahan yang boleh menjejaskan kestabilan sistem kewangan negara.
“Kita melihat keuntungan yang tinggi dari sudut pelaburan yang ada dalam kripto itu tidak boleh kita menafikan dari sudut keupayaan untuk membayar zakat, kalau perkara ini bercanggah dengan BNM maka kita perlu runding.
“Dalam masa sama, kita lihat dari sudut pelbagai aspek sehingga tidak merugikan mana-mana pihak dan tidak merosakkan sistem serta membahayakan kepada akta itu sendiri dan membahayakan kepada BNM,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa pendekatan fekah dalam isu-isu semasa seperti ini memerlukan ketelitian dan keterbukaan terhadap perubahan zaman.
“Fekah ini di dalam kehidupan perlu kepada inovatif dan saya rasa perkara ini boleh dilihat dengan pelbagai aspek, pelbagai pandangan yang berlainan.
“Ia perlu kita disinergikan sehingga kita mampu menyesuaikan untuk pembangunan negara kita,” katanya.
Terdahulu, The Merdeka Times melaporkan, penganalisis ekonomi Islam, Prof. Dr. Baharom Abdul Hamid menegaskan tindakan beberapa majlis agama Islam negeri yang memperkenalkan fatwa membenarkan pembayaran zakat menggunakan mata wang kripto boleh dianggap telah “melangkaui batas” kerana bertentangan dengan ketetapan Bank Negara Malaysia (BNM) yang tidak pernah mengiktiraf kripto sebagai mata wang sah.
Dalam program Analisis bersama Finaz Yunus terbitan The Merdeka Times, beliau berkata walaupun ada pandangan bahawa kripto layak dikenakan zakat, fatwa yang membolehkan bayaran zakat dilakukan menggunakan kripto menimbulkan persoalan besar dari segi syarak dan perundangan negara. – The Merdeka Times