Terkini
Rakyat Johor sambut kemenangan BN dengan rasa syukur: “Biru lebih baik”
JOHOR BAHRU – Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026 disambut dengan rasa gembira, syukur dan puas hati oleh sebahagian pengundi yang ditemui The Merdeka Times selepas keputusan diumumkan.
BN berjaya mempertahankan pentadbiran negeri dengan majoriti yang meyakinkan, malah dilaporkan memperoleh majoriti dua pertiga.
The Merdeka Times turun ke lapangan sejurus keputusan diumumkan bagi merakamkan reaksi pengundi. Daripada warga tempatan sehinggalah individu yang berasal dari luar negeri tetapi menetap dan bekerja di Johor, rata-rata meluahkan rasa lega serta optimis terhadap hala tuju negeri itu selepas pilihan raya.
Seorang pengundi yang hanya mahu dikenali sebagai Suresh, 30, memilih perkataan ringkas, “Biru”.
Apabila ditanya sebabnya, beliau tersenyum sebelum berkata: “Kalau dia ada, kita lebih baik. Biru lebih baik.”
Seorang lagi pengundi yang hanya mahu dikenali sebagai Hakim, 37, pula memilih perkataan “Tahniah” bagi menggambarkan perasaannya terhadap kemenangan tersebut.
Seorang pengundi lain yang turut dikenali sebagai Aqif, 34, memilih perkataan “Puas” kerana “apa yang diundi menang”.
Baginya, keputusan pilihan raya itu menjadi pengesahan bahawa pilihannya ketika mengundi adalah tepat.
Bagi Anis, 34, perasaannya lebih berkait dengan tanggungjawab sebagai seorang pengundi yang telah ditunaikan.
“Saya rasa saya dah jalankan tanggungjawab. Jadi, saya rasa saya bertanggungjawab. Jadi, saya gembira,” katanya.
Sementara itu, Izzat, 32, menyifatkan dirinya sebagai “teruja”.
Walaupun menyedari Johor sebelum ini juga berada di bawah pentadbiran BN, beliau melihat kemenangan kali ini sebagai lebih menyeluruh.
“Mungkin untuk kali ini, lebih menyeluruh kerusinya. Dan dua pertiga pun dah diperolehi. Mungkin kedepannya, persiapan itu mungkin lebih untuk BN, untuk kelebihan dari segi membimbing ataupun memimpin Johor,” katanya.
Menurut beliau, majoriti besar yang diperoleh diharapkan dapat membantu kerajaan negeri memberikan tumpuan lebih menyeluruh terhadap pentadbiran dan pembangunan Johor.
Dalam kalangan pengundi wanita, reaksi yang diberikan lebih menjurus kepada rasa syukur dan harapan terhadap perpaduan.
“Gembira, gembira, syukur, Alhamdulillah,” kata seorang pengundi yang hanya mahu dikenali sebagai Rukiah meluahkan perasaannya.
Beliau mengakui sebelum ini berdoa dan memohon kepada Allah agar kemenangan berpihak kepada pihak yang dipilihnya.
Syahira Ghazali, 49, pula memilih ungkapan “Bersyukur, Alhamdulillah”.
Beliau turut menyampaikan pesanan kepada seluruh rakyat Johor supaya terus menjaga perpaduan dan keamanan negeri.
“Semoga kita semua bersatu hati. Hidup aman-aman,” katanya.
Dalam pada itu, beberapa pengundi turut berharap kerajaan negeri yang diberikan mandat baharu dapat memberi perhatian terhadap pemulihan ekonomi dan kebajikan rakyat.
“Harap yang fast forward punya government akan bantu rakyat. Sekarang ekonomi tak bagus, mungkin selepas pilihan raya ini, di Johor ada perubahan sikit,” kata seorang pengundi yang enggan namanya disiarkan.-The Merdeka Times