Hartanah
(VIDEO) Kg Sungai Baru: ‘Satu sen pun duit pampasan tidak disentuh, diberi secara paksa’ – Rafidah Ibrahim
KUALA LUMPUR — Penduduk asal Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, Rafidah Ibrahim yang terkenal lantang dalam isu projek pembangunan semula kampung tersebut menegaskan bahawa apa yang diperjuangkan pihaknya ketika ini bukan lagi soal pampasan.
Sebaliknya, apa yang dituntut beliau adalah agar pemilikan tanah di Kampung Sungai Baru itu kekal menjadi milik penduduk asal, sekali gus warisan mereka dikekalkan.
Bercakap kepada The Merdeka Times hari ini, Rafidah berkata ini kerana, sebahagian besar penduduk khususnya warga emas telah melunaskan bayaran rumah mereka, justeru tidak wajar diminta berpindah ke penempatan baharu yang menuntut mereka membuat pinjaman semula.
“Rata-rata kita dah habis bayar kalau kata orang-orang tua dekat sini yang dah pencen apa semua, mereka dah habis bayar rumahnya jadi kenapa pula kita nak masuk rumah baru dengan kita kena tambah lagi loan?
“Macam mana mak cik-mak cik, pak cik-pak cik 60-an, 70-an nak buat loan apa?,” soalnya yang menyifatkan tindakan itu pada akhirnya hanya akan membebankan kelompok itu sahaja.
Memperjelaskan kekeliruan yang mungkin timbul berkaitan isu pampasan kepada penduduk Kampung Sungai Baru, Rafidah menegaskan bahawa beliau dan keluarganya sama sekali tidak pernah menerima atau menyentuh sebarang wang pampasan yang diberikan pihak pemaju.
Jelas beliau, pampasan tersebut sebenarnya telah disalurkan kepada penduduk yang dikenakan Akta Pengambilan Tanah 1960, walaupun sebahagian daripada mereka tidak bersetuju dengan pengambilalihan tersebut.
Situasi itu sekali gus menunjukkan wujud unsur pemaksaan ke atas penduduk di mana pihak terbabit sudah ‘memberikan’ duit, maka penduduk perlu menyerahkan tanah mereka pula.
“Saya sekeluarga, pewaris-pewaris, yang memang ada hak kepada duit tu, kami satu sen pun tidak menyentuh duit tu lagi.
“Duit tu masih ada di Amanah Raya (yang dimasukkan sendiri oleh pihak terbabit)… Kalau bahasa kasar lah saya cakap eh, keluarga saya ni tak kisahlah kami ni senang atau susah ke, kami tak hauk dekat duit tu.
“Kami nak pemilikan, kami nak kekalkan warisan kami, keluarga kami, pemilikan kami di Kampung Sungai Baru bukan duit pemaju yang tak berapa sen itu,” katanya.
Jelas Rafidah lagi, beliau bukan bersuara untuk keluarganya sahaja, tetapi turut mewakili penduduk lain yang turut menolak pampasan tersebut. — The Merdeka Times