Connect with us

Terkini

TVET catat 98.7 peratus kebolehpasaran kerja, persepsi TVET pilihan kedua perlu diubah – Prof Emerita Asma Ismail

Published

on

Foto: Profesor Emerita Datuk Dr Asma Ismai
  • Menurut Prof Emerita Asma Ismail, pengiktirafan terhadap TVET sebagai laluan yang setara dengan akademik telah lama dinyatakan dalam pelan tindakan pendidikan negara, namun masih terdapat ibu bapa dan pelajar yang melihat laluan akademik sebagai pilihan utama.
  • Asma berkata persepsi tersebut perlu diubah memandangkan TVET kini menunjukkan prestasi yang amat memberangsangkan dari segi kebolehpasaran pekerjaan graduan.
  • Menurutnya, semakin ramai pelajar kini memilih laluan TVET berbanding universiti sehingga menyebabkan institusi seperti politeknik dan kolej komuniti berdepan kekurangan tempat untuk menampung permintaan semasa.

GEORGE TOWN – Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tidak lagi boleh dianggap sebagai pilihan kedua berbanding laluan akademik kerana kedudukannya kini setanding dengan pendidikan akademik, kata Profesor Emerita Datuk Dr Asma Ismail.

Menurut beliau, pengiktirafan terhadap TVET sebagai laluan yang setara dengan akademik telah lama dinyatakan dalam pelan tindakan pendidikan negara, namun masih terdapat ibu bapa dan pelajar yang melihat laluan akademik sebagai pilihan utama.

Asma berkata persepsi tersebut perlu diubah memandangkan TVET kini menunjukkan prestasi yang amat memberangsangkan dari segi kebolehpasaran pekerjaan graduan.

“TVET sekarang mempunyai kadar kebolehpasaran pekerjaan sebanyak 98.7 peratus. TVET secara keseluruhan, universiti secara individu pun tidak boleh mencapai angka seperti itu. Tetapi TVET di seluruh negara mencatatkan kadar kebolehpasaran pekerjaan 98.7 peratus,” katanya dalam petikan syarahan Tokoh Negara yang dikongsi Universiti Sains Malaysia (USM).

Beliau berkata minat terhadap TVET juga semakin meningkat dalam kalangan pelajar sehingga berlaku perubahan dalam corak permohonan pengajian tinggi. 

Menurutnya, semakin ramai pelajar kini memilih laluan TVET berbanding universiti sehingga menyebabkan institusi seperti politeknik dan kolej komuniti berdepan kekurangan tempat untuk menampung permintaan semasa.

Katanya, perkembangan itu turut mendorong lima politeknik dinaik taraf kepada status Asia Pacific Accreditation and Certification Commission (APACC), sekali gus membolehkan institusi berkenaan menawarkan program TVET sehingga ke peringkat ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah (PhD).

Beliau berkata program TVET turut mengalami perkembangan apabila kursus yang ditawarkan kini mendapat akreditasi daripada Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT), selain membolehkan sesuatu program akademik diolah kepada pendekatan berasaskan TVET.

Menurut Asma, perubahan tersebut menunjukkan landskap pendidikan tinggi negara sedang mengalami peralihan apabila laluan akademik dan TVET tidak lagi dilihat sebagai dua bidang yang terpisah, sebaliknya saling melengkapi.

Sehubungan itu, beliau berpandangan universiti perlu menyesuaikan diri dengan perubahan semasa dengan memperkukuhkan kedua-dua laluan akademik dan TVET bagi memastikan institusi pengajian tinggi terus relevan serta mampu menarik minat pelajar pada masa hadapan. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author