Komuniti
Pengusiran Kampung Papan langgar arahan MB: Lebih 50 NGO tuntut bebaskan aktivis
- Menurut kenyataan media itu, arahan tersebut telah dikeluarkan melalui kenyataan kerajaan negeri pada 23 Oktober bertajuk “Kerajaan Negeri Cakna Isu Penempatan Peneroka Jalan Papan”, yang menegaskan kerja-kerja perobohan hanya boleh dilakukan ke atas rumah dan premis kosong sahaja, selaras dengan semangat penyelesaian berhemah yang dipersetujui dalam mesyuarat dipengerusikan Menteri Besar pada 21 Oktober.
- Namun, kumpulan hak asasi itu mendakwa rumah yang masih dihuni penduduk tetap dirobohkan secara paksa, barang-barang dikeluarkan dan penduduk diusir secara fizikal, tindakan yang bercanggah dengan arahan Menteri Besar serta dasar kerajaan negeri.
SELANGOR – Parti Sosialis Malaysia (PSM) bersama lebih 50 organisasi masyarakat sivil mengecam penahanan tiga individu termasuk aktivis S. Arutchelvan, Mythreyar dan penduduk Logeswaran pada 12 November 2025, yang didakwa dilakukan secara tidak wajar ketika cuba menghalang pengusiran paksa di Kampung Papan, Selangor.
Penahanan itu dibuat sekitar jam 4 petang di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, namun kumpulan tersebut menegaskan bahawa tindakan itu tidak berasas memandangkan mereka hanya menyampaikan arahan rasmi kerajaan negeri bahawa rumah yang masih didiami tidak boleh dirobohkan.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Parti Sosialis Malaysia.
Menurut kenyataan media itu, arahan tersebut telah dikeluarkan melalui kenyataan kerajaan negeri pada 23 Oktober bertajuk “Kerajaan Negeri Cakna Isu Penempatan Peneroka Jalan Papan”, yang menegaskan kerja-kerja perobohan hanya boleh dilakukan ke atas rumah dan premis kosong sahaja, selaras dengan semangat penyelesaian berhemah yang dipersetujui dalam mesyuarat dipengerusikan Menteri Besar pada 21 Oktober.
Namun, kumpulan hak asasi itu mendakwa rumah yang masih dihuni penduduk tetap dirobohkan secara paksa, barang-barang dikeluarkan dan penduduk diusir secara fizikal, tindakan yang bercanggah dengan arahan Menteri Besar serta dasar kerajaan negeri.
Kenyataan itu menyebut bahawa ketiga-tiga individu yang ditahan sebenarnya bertindak berdasarkan arahan kerajaan negeri agar rumah berpenghuni tidak dirobohkan sehingga penyelesaian harmoni dicapai.
Sebaliknya, pegawai IPD Klang Selatan termasuk OCPD didakwa mengingkari arahan tersebut dengan membantu syarikat pemaju, Melati Ehsan, melaksanakan pengusiran paksa.
PSM dan organisasi yang menandatangani kenyataan itu menyifatkan penahanan tersebut sebagai tidak perlu dan tidak sah kerana ketiga-tiga tahanan bertindak selaras dengan nasihat Menteri Besar dan kerajaan negeri.
Mereka turut menuntut pembebasan segera dan tanpa syarat terhadap S. Arutchelvan, Mythreyar dan Logeswaran.
Kumpulan itu juga menggesa kerajaan negeri Selangor campur tangan serta menghentikan semua kerja perobohan sehingga penyelesaian adil dicapai, termasuk memastikan semua penduduk menerima penempatan alternatif yang mencukupi sebelum sebarang pengusiran dilakukan.
Kenyataan tersebut disokong oleh 56 organisasi termasuk SUARAM, Teoh Beng Hock Association for Democratic Advancement, Parti Sosialis Malaysia, Aliran, Amnesty International Malaysia, ABIM, BERSIH, CAGED, WAO serta puluhan organisasi lain bersama beberapa individu.-The Merdeka Times