Connect with us

Terkini

Kerajaan wajar wujudkan zon tumpuan Rohingya untuk mudahkan pendaftaran, pemantauan – Centhra

Published

on

Foto: Pengerusi Centre for Human Rights Research and Advocacy (Centhra), Azril Mohd Amin.

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran mengenal pasti dan mewartakan kawasan yang mempunyai kepadatan tinggi komuniti Rohingya bagi memudahkan proses pendaftaran, pemetaan serta pemantauan golongan tersebut secara lebih tersusun dan berkesan.

Pengerusi Centre for Human Rights Research and Advocacy (Centhra), Azril Mohd Amin berkata, pendekatan itu boleh membantu pihak berkuasa memahami taburan sebenar komuniti Rohingya di negara ini selain membolehkan pengurusan yang lebih sistematik dilaksanakan.

Menurut beliau, kerajaan perlu mengenal pasti kawasan yang menjadi tumpuan utama komuniti berkenaan, khususnya lokasi yang mempunyai jumlah penduduk Rohingya yang tinggi.

“Kalau kerajaan boleh kenal pasti kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan golongan ini, Rohingya ini, dan melihat ambang kepadatan mereka yang tinggi, kawasan tersebut perlu diberikan tumpuan khusus.

“Mungkin kawasan itu boleh diwujudkan sebagai kawasan terhad untuk kerajaan melaksanakan pendaftaran serta menguruskan mereka dengan lebih berkesan,” katanya dalam program Garis Krisis.

Beliau berkata, terdapat kawasan tertentu yang sering dikaitkan dengan kehadiran komuniti Rohingya dalam jumlah yang besar, sekaligus menunjukkan keperluan kepada satu kerangka pengurusan yang lebih jelas dan praktikal.

Azril berpandangan pihak berkuasa sememangnya mempunyai keupayaan untuk menguruskan isu tersebut, namun berdepan kekangan tertentu termasuk dari segi sumber serta ketiadaan dasar yang komprehensif.

“Pihak berkuasa tahu apa yang perlu dilakukan, cuma mungkin sumber kita agak terhad dan kita tidak mempunyai dasar atau kerangka yang jelas serta praktikal untuk menguruskan perkara ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengulangi cadangan supaya kerajaan mewujudkan zon yang jelas berdasarkan kawasan berkepadatan tinggi komuniti Rohingya bagi membolehkan data dan pemetaan populasi dilakukan dengan lebih tepat.

Menurut beliau, pewartaan kawasan tumpuan tersebut akan membantu kerajaan memperoleh gambaran yang lebih menyeluruh mengenai jumlah penduduk, lokasi penempatan serta keperluan pengurusan yang bersesuaian bagi komuniti berkenaan.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author