Hartanah
Pasaran perumahan Malaysia kekal suram, Unit mampu milik tidak terjual meningkat – Rehda
- Lokasi yang kurang sesuai serta ketidaksepadanan antara harga hartanah dan tahap pendapatan tempatan merupakan faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan unit mampu milik tidak terjual.
- “Jika lokasi tidak menarik atau penduduk di kawasan itu tidak mampu menampung harga jualan, besar kemungkinan unit-unit ini akan kekal tidak terjual,”.
KUALA LUMPUR– Pasaran perumahan Malaysia terus berdepan keadaan suram pada separuh pertama 2025 dengan peningkatan jumlah unit mampu milik tidak terjual menjadi kebimbangan utama, menurut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda).
Dalam taklimat media berhubung Rehda Property Industry Survey bagi 1H2025 serta unjuran pasaran 2H2025 dan 1H2026, bekas presiden Rehda, Datuk NK Tong berkata lokasi yang kurang sesuai serta ketidaksepadanan antara harga hartanah dan tahap pendapatan tempatan merupakan faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan unit mampu milik tidak terjual.
Di bawah peraturan semasa, pemaju diwajibkan memperuntukkan sehingga 50 peratus unit untuk rumah mampu milik tanpa mengambil kira lokasi.
Menurut Tong, walaupun dasar itu berhasrat baik, pelaksanaan secara menyeluruh sering menyebabkan ketidakseimbangan antara penawaran dan permintaan.
“Jika lokasi tidak menarik atau penduduk di kawasan itu tidak mampu menampung harga jualan, besar kemungkinan unit-unit ini akan kekal tidak terjual,” jelasnya.
Data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic) menunjukkan rumah mampu milik menyumbang 20.7 peratus daripada unit tidak terjual pada suku pertama 2025, menjadikannya kategori terbesar dalam lebihan stok kediaman.
Dalam masa sama, keyakinan pemaju terhadap pasaran hartanah turut merosot mendadak.
Tinjauan melibatkan 187 eksekutif kanan menunjukkan hanya 19 peratus optimis terhadap prospek pasaran pertengahan 2025, berbanding 51 peratus enam bulan lalu, manakala keyakinan terhadap jualan turut merosot ke paras sama daripada 52 peratus.
Presiden Rehda, Datuk Ho Hon Sang pula menegaskan isu utama yang membelenggu pemaju termasuk peningkatan kos pembinaan, kekurangan tenaga kerja, cabaran pembiayaan serta pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang bakal berkuat kuasa.
Seiring dengan sentimen lebih berhati-hati, hanya 41 peratus pemaju bercadang melancarkan projek baharu pada separuh kedua 2025, menurun daripada 56 peratus sebelum ini, manakala 62 peratus tidak bercadang membeli tanah berbanding 70 peratus yang sebelum ini berhasrat untuk memperluaskan pegangan.
Tinjauan Rehda turut melaporkan penurunan 26 peratus dalam pelancaran kediaman baharu berbanding tempoh sebelumnya, dengan kadar jualan unit baharu jatuh kepada 24 peratus berbanding 55 peratus pada akhir 2024.
Rumah teres dua dan tiga tingkat kekal segmen paling berprestasi, namun keseluruhan aktiviti pasaran masih hambar.
Isu pembiayaan pembeli kekal ketara, dengan 71 peratus pemaju melaporkan kesukaran mendapatkan pinjaman akhir untuk pembeli.
Kadar penolakan pinjaman paling tinggi dicatatkan bagi rumah berharga RM300,001 hingga RM500,000. Lebih separuh responden juga mengakui mereka masih menyimpan unit siap dibina yang tidak terjual, kebanyakannya kediaman berkhidmat berharga melebihi RM1 juta atau dalam lingkungan RM500,001 hingga RM600,000.
Walaupun pembinaan kediaman dikecualikan daripada SST, pemaju menyuarakan kekeliruan memisahkan kos buruh bercukai daripada bahan tidak bercukai dalam kontrak bercampur.
Rehda mencadangkan kaedah pengiraan kadar rata yang lebih mudah dan kini sedang berunding dengan pihak berkuasa.
Untuk separuh kedua 2025, dijangka hanya 41 peratus pemaju akan meneruskan pelancaran projek, melibatkan 7,608 unit hartanah bertanah dan 16,819 unit strata.
Namun, majoriti menjangkakan jualan perlahan dengan kadar serapan sekitar 25 peratus hingga 50 peratus selepas enam bulan.
Secara keseluruhan, unjuran pasaran bagi 12 bulan akan datang adalah neutral dengan sedikit peningkatan optimisme menjelang separuh pertama 2026, meskipun prospek bergantung kepada kesan sebenar SST.
“Optimisme ini boleh berubah bergantung kepada bagaimana SST dilaksanakan. Namun apa jua keadaan, pemaju akan terus berhati-hati,” kata Tong.
Rehda turut mengulangi gesaannya agar Kempen Pemilikan Rumah (HOC) diperkenalkan semula bagi merangsang permintaan dan menegaskan komitmen ahli-ahlinya untuk terus menyediakan kediaman berkualiti serta mampu milik meskipun berdepan cabaran ekonomi dan cukai.- The Merdeka Times