Antarabangsa
Tolak 2 state solution, mampukah “One State” tanpa Israel?
Dalam dunia yang sarat dengan slogan “dua negara untuk dua bangsa”, muncul suara-suara yang menolak kerangka lama itu. Bagi sejarawan Israel Ilan Pappé, penyelesaian dua negara hanyalah “lampu di hujung terowong yang palsu” kerana sejak awal lagi, terowong itu digali atas asas penindasan, pencerobohan dan pengusiran rakyat Palestin.
Lebih tujuh puluh tahun selepas Nakba, realiti di lapangan kini bukan lagi “dua entiti”, tetapi satu rejim yang mengawal dari Sungai Jordan hingga Laut Mediterranean dengan dua set undang-undang, dua sistem keselamatan, dan dua taraf manusia.
Justeru bagi Pappé, “one state solution” bukan utopia, tetapi pengiktirafan terhadap realiti yang sudah pun wujud, cuma tanpa keadilan dan kesamarataan.
Namun persoalan yang semakin menuntut jawapan, bolehkah penyelesaian satu negara dilakukan tanpa Israel?
Secara politik, jawapannya jelas.
Tidak mungkin tanpa transformasi struktur Israel. Negara itu masih mengawal sempadan, tentera dan ekonomi seluruh wilayah. Setiap perbincangan mengenai negara tunggal akan berdepan tembok ideologi Zionisme yang menegaskan “Negara Yahudi mesti kekal majoriti”.
Tetapi dari sudut moral dan hak asasi, ya!
Ia boleh dimulakan tanpa menunggu Israel.
Inilah naratif yang diketengahkan oleh Pappé bersama pemikir Palestin Awad Abdelfattah dalam One Democratic State Campaign (ODSC): bahawa perubahan tidak perlu menunggu “izin penjajah”.
Seperti Afrika Selatan era apartheid, perubahan bermula daripada gerakan rakyat, tekanan global dan kekuatan wacana bukan rundingan yang ditentukan penjajah.
Ali Abunimah, pengasas Electronic Intifada, turut menegaskan bahawa kita kini hidup dalam satu negara yang tidak demokratik.
Maka penyelesaiannya bukan mencipta dua negara, tetapi menukar sistem sedia ada menjadi negara demokratik sebenar iaitu satu warganegara, satu undi, satu undang-undang untuk semua.
Visi ini tidak bermaksud meniadakan orang Yahudi, tetapi menamatkan struktur keistimewaan etnik yang menjadikan Palestin tertindas di tanah sendiri.
Bayangkan Muslim, Kristian dan Yahudi hidup sebagai warga setara tanpa idealogi zionis yang menindas.
Seperti kata Pappé dalam ucapannya di European Parliament:
“Only through acknowledgement, accountability, and the right of return can we close the wound of 1948.”
“Bolehkan One State tanpa Israel?”
Bukan soalan tentang geopolitik semata-mata, tetapi tentang moral masa depan kemanusiaan.
Selagi sistem apartheid kekal, dunia akan terus berurusan dengan rejim, bukan negara.
Tetapi seandainya gerakan global iaitu intelektual, sivil, dan rakyat mula menuntut satu negara demokratik untuk semua rakyat antara sungai dan laut, maka One State bukan lagi Impian tetapi tuntutan moral yang menunggu keberanian sejarah. -LIDAH PENGARANG