Connect with us

Hartanah

Rumah ‘mampu milik’ RM300,000–RM500,000 hakikatnya tak mampu dibeli rakyat – Pakar

Published

on

Foto: Gambar Sekadar Hiasan.

 

  • “Rata-rata rumah mampu milik dijual pada harga RM300,000 ke atas, malah ada yang mencecah RM500,000. Namun hasil kajian menunjukkan kemampuan sebenar rakyat untuk membeli rumah berada pada paras harga di bawah RM250,000.” – Penganalisis hartanah Universiti Malaya Wales, Prof. Dr Noor Rosly Hanif
  • Isu lokasi serta akses kediaman turut menjadi faktor utama keengganan pembeli.

KUALA LUMPUR – Walaupun digelar rumah mampu milik, harga yang ditawarkan kebanyakan pemaju hari ini masih berada di luar kemampuan sebenar majoriti rakyat Malaysia, khususnya golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

Penganalisis hartanah Universiti Malaya Wales, Prof. Dr Noor Rosly Hanif, berkata kebanyakan projek yang dilabel sebagai mampu milik kini dijual pada harga tinggi, mencecah sehingga setengah juta ringgit.

“Rata-rata rumah mampu milik dijual pada harga RM300,000 ke atas, malah ada yang mencecah RM500,000. Namun hasil kajian menunjukkan kemampuan sebenar rakyat untuk membeli rumah berada pada paras harga di bawah RM250,000,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times.

Beliau menjelaskan, isu lokasi serta akses kediaman turut menjadi faktor utama keengganan pembeli.

“Rumah pada harga lebih rendah kebiasaannya dibina di pinggir bandar yang jauh dari pusat bandar, tidak mempunyai akses mudah ke pengangkutan awam serta kurang kemudahan asas.

“Faktor ini menyumbang kepada penolakan pembeli walaupun harganya lebih rendah,” ujarnya.

Menurut Noor Rosly, pasaran rumah mampu milik di kawasan tertentu seperti Cheras dan Ampang kini berdepan tekanan harga menurun.

“Banyak projek perumahan yang dibina secara besar-besaran menyaksikan harga pasaran sekunder jatuh mendadak daripada RM300,000 – RM500,000 kepada hanya RM230,000 – RM390,000.

“Lebih membimbangkan, sebilangan unit gagal terjual walaupun dilelong beberapa kali pada harga di bawah nilai rizab,” katanya.

Beliau menegaskan fenomena serentak yang berlaku di pasaran utama (pemaju), pasaran sekunder, dan pasaran lelong itu merupakan tanda amaran serius kepada industri hartanah kerana tidak pernah berlaku sebelum ini dalam skala sedemikian.

Ekoran ketidaktentuan pasaran, ramai pembeli kini memilih untuk mengambil pendekatan tunggu dan lihat sebelum membuat keputusan membeli.

“Ini menimbulkan persoalan penting adakah pemaju menetapkan harga rumah berdasarkan kemampuan rakyat dan data permintaan sebenar, atau semata-mata mengejar keuntungan tanpa mengira kebolehpasaran projek mereka?” soalnya.

Dalam suasana ekonomi yang mencabar serta kos sara hidup yang meningkat, beliau menggesa agar harga rumah mampu milik ditetapkan secara lebih realistik dan telus supaya benar-benar memenuhi keperluan rakyat.

“Rumah mampu milik tidak sepatutnya hanya indah di atas kertas, tetapi mesti selari dengan realiti pasaran,” tegasnya. -The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author