Connect with us

Terkini

SPRM terima maklumat dakwaan rasuah babit calon PRN Johor

Published

on

Foto: Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman.
  • Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, identiti calon terbabit, lokasi kejadian serta parti yang diwakilinya tidak didedahkan.
  • Beliau memaklumkan sehingga kini, SPRM menerima tiga maklumat berkaitan rasuah, termasuk satu laporan yang disalurkan oleh penguat kuasa kempen pilihan raya yang hadir ke Pejabat SPRM Cawangan Batu Pahat.
  • “Saya tidak mahu komen lebih-lebih kerana ini musim pilihan raya. Kita tidak mahu menjejaskan mana-mana pihak. Kita mahu kekal bebas supaya tidak dilihat menyebelahi mana-mana pihak,” katanya.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah menerima maklumat mengenai dakwaan kesalahan rasuah yang dikaitkan dengan seorang calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, identiti calon terbabit, lokasi kejadian serta parti yang diwakilinya tidak didedahkan.

Beliau memaklumkan sehingga kini, SPRM menerima tiga maklumat berkaitan rasuah, termasuk satu laporan yang disalurkan oleh penguat kuasa kempen pilihan raya yang hadir ke Pejabat SPRM Cawangan Batu Pahat.

“Saya tidak mahu komen lebih-lebih kerana ini musim pilihan raya. Kita tidak mahu menjejaskan mana-mana pihak. Kita mahu kekal bebas supaya tidak dilihat menyebelahi mana-mana pihak.

“Jika ada kesalahan rasuah dalam pilihan raya yang sedang berlangsung, tidak kira apa parti, calon, pengundi atau penyokong, maka ia tetap merupakan kesalahan rasuah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari in yang dilaporkan Berita Harian.

Menurut Abd Halim, SPRM akan mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang terbabit sekiranya wujud unsur rasuah sepanjang tempoh pilihan raya berlangsung tanpa mengira sama ada membabitkan parti politik, calon, pengundi atau penyokong.

“Semua maklumat diterima itu sedang dinilai dan disiasat mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa SPRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan rasuah berkaitan pilihan raya, tanpa mengambil kira kedudukan, parti politik atau latar belakang.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua calon, parti politik, penyokong dan pengundi supaya sentiasa mematuhi undang-undang sepanjang tempoh berkempen serta pada hari pengundian.

“SPRM akan terus memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mencemarkan proses demokrasi melalui amalan rasuah.

“Pilihan raya bersih bukan saja menjamin integriti sistem demokrasi, malah memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap institusi negara,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Abd Halim berkata, SPRM Johor telah mengaktifkan lima Bilik Gerakan di Johor Bahru, Segamat, Kluang, Batu Pahat dan Mersing sepanjang tempoh PRN bagi memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kesalahan rasuah serta salah guna kuasa ketika pilihan raya berlangsung. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author