Connect with us

Terkini

Rakyat mahu Johor terus maju, tapi pembangunan mesti dirasai rakyat marhaen

Published

on

Foto: Pengundi rakyat Johor.
  • “Saya berharap bahawa Johor ini lebih membangun. Dalam kita membangun, di samping itu, segala keperluan rakyat-rakyat macam kitalah, marhaen ini tidak dilupakan.” –  Jamilah Tambi
  • “Dari segi kemajuan, minda pun kena maju. Pembangunan anak-anak sekolah, itu semua adalah keperluan asas.” – Armah Kundur
  • “Saya orang Johor, selama inilah saya harap kerajaan yang dulu dapat menang. Kerana bangsa Johor, dia termasuk semua kaum” – Looi Kiang Weng

JOHOR BAHRU  — Selepas menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi, rata-rata rakyat Johor yang ditemui meletakkan harapan besar agar kerajaan yang dipilih selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor terus memberi tumpuan kepada kemajuan negeri, kestabilan ekonomi, kebajikan rakyat dan kos sara hidup.

Tinjauan The Merdeka Times mendapati, walaupun latar belakang dan usia pengundi berbeza, mesej yang disampaikan hampir sama, Johor perlu terus maju, tetapi pembangunan itu mesti dirasai rakyat biasa.

Bagi Jamilah Tambi, 64, kemajuan negeri tidak sepatutnya hanya dilihat dari sudut pembangunan fizikal semata-mata, sebaliknya perlu seiring dengan bantuan kepada rakyat yang sedang berdepan tekanan kos hidup.

“Saya berharap bahawa Johor ini lebih membangun. Dalam kita membangun, di samping itu, segala keperluan rakyat-rakyat macam kitalah, marhaen ini tidak dilupakan,” katanya.

Menurut beliau, bantuan kepada rakyat masih penting kerana kehidupan hari ini semakin mencabar, khususnya bagi mereka yang berpendapatan rendah.

“Kita mengharapkan kemajuan. Tapi dari segi yang sama, membawa bersamalah bantuan-bantuan yang wajar untuk diberikan kepada marhaen.

“Sebab dalam mengejar kemajuan, kita pun perlu hidup bersama. Maksudnya, sama-sama maju. Kalau misalnya dalam keadaan terlalu susah, kadang-kadang nak membangun minda pun susah,” katanya.

Pandangan hampir sama turut dikongsikan Armah Kundur, 67, yang menekankan kemajuan negeri perlu melibatkan pembangunan minda dan pendidikan anak-anak.

“Dari segi kemajuan, minda pun kena maju. Pembangunan anak-anak sekolah, itu semua adalah keperluan asas,” katanya.

Bagi Looi Kiang Weng, 73, kekuatan Johor terletak pada identiti “Bangsa Johor” yang menyatukan rakyat pelbagai kaum.

“Saya orang Johor, selama inilah saya harap kerajaan yang dulu dapat menang. Kerana bangsa Johor, dia termasuk semua kaum.

“Lain-lain negeri saya ingat tak ada bangsa Johor ini. Kaum semua baik dan terutama kita punya Sultan. Semua bagus, dia tak kira kaum,” katanya.

Seorang lagi pengundi yang hanya mahu dikenali sebagai Salleh, 53, berkata Johor selama ini berada dalam keadaan aman, makmur dan stabil. Justeru, beliau berharap kestabilan itu dapat diteruskan selepas PRN.

“Kita selama ni dah aman, makmur, ekonomi stabil. Rasanya yang baik tak bertukar.

“Harapan ni penting sebab kita orang Johor ni dah lama dah stabil,” katanya.

Beliau turut berharap pihak yang datang membawa tawaran politik kepada rakyat tidak hanya memainkan provokasi, sebaliknya membawa cadangan yang benar-benar memberi manfaat kepada negeri.

Sementara itu, Aida Yati Ahmad, 53, berkata keadaan Johor ketika ini sudah baik, namun beliau berharap kerajaan selepas ini dapat memberikan perkhidmatan lebih baik kepada semua lapisan masyarakat.

“Sebenarnya sekarang dah terbaik. Kalau boleh nak lebih terbaik lagi lah pada kerajaan.

“Kerajaan Johor bantu segala kan. Jadi mungkin insya-Allah lepas ni akan lebih dia membantu semua masyarakat dalam Johor ni. Sebab kita sesama orang Johor,” katanya.

Rozita Abdul Rahman, 61, pula berkata harapan utama rakyat ialah kerajaan yang memudahkan kehidupan mereka, terutama dalam isu bantuan dan keperluan harian.

“Harapan tu kalau boleh yang baik-baik lah. Yang memudahkan dan menyenangkan untuk rakyat. Itu yang penting.

“Lagi kalau apa-apa tu macam masalah minyak pun semua, banyak orang yang mengeluh,” katanya.

Bagi Jamilah Ismail, 50, yang berasal dari Kedah tetapi sudah menetap di Johor lebih 50 tahun, negeri itu sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya.

“Kalau boleh nak tengok Johor ni berjaya. Kalau boleh nak lagi stabilkan lagi ekonomi.

“Kita besar dekat Johor, jadi kalau boleh kita nak Johor ni lagi maju, lagi sempurna,” katanya.

Adiknya, Siti Fatimah Ismail, 53, turut berharap Johor terus maju dan suara rakyat terus didengari.

“Selepas hari ni, kalau boleh biarlah terus Johor maju terus. Dari segi apa pun, rakyat didahulukan seperti yang sudah-sudah.

“Kalau boleh, suara rakyat ni Sultan kita dengar. Apa aduan rakyat, untuk Sultan dengar lah,” katanya.

Bagi pengundi muda, Puteri Alia, 18, pengalaman mengundi buat kali pertama memberi makna besar kepadanya.

“Perasaan saya berundi untuk kali pertama, gelisah. Sebab takut salah undi.

“Tetapi undi ini penting kerana dapat pilih pemimpin yang lebih baik. Pemimpin yang baik itu penting untuk menstabilkan ekonomi negara dan menjaga kebajikan rakyat,” katanya.

Muhammad Fizani pula berkata, tidak kira parti mana yang akhirnya membentuk kerajaan negeri, rakyat tidak boleh dilupakan.

“Tak kira dari segi Pakatan Harapan ke Barisan Nasional ke ataupun yang lain-lain parti. Rakyat jangan dilupakan.

“Mana-mana parti yang jadi kerajaan dia mesti membela rakyat lah, itu yang kita nak sebenarnya,” katanya.

Encik Aziz, 60, melihat kepentingan pemilihan kerajaan negeri dari sudut pembangunan ekonomi Johor, termasuk hubungan dengan Singapura dan peluang pekerjaan.

Beliau berkata, pembangunan Johor yang rancak, termasuk Zon Ekonomi Singapura-Johor, perlu diteruskan kerana ia mampu menggalakkan pelaburan dan membuka peluang pekerjaan kepada warga negeri itu.

Dalam masa sama, Muhammad Rashid, 37, berharap kehidupan rakyat pelbagai bangsa di Johor terus makmur, namun menegaskan isu infrastruktur seperti jalan raya perlu diberi perhatian.

“Harapan saya ialah supaya kita dapat hidup dalam keadaan makmur dalam pelbagai bangsa.

“Tapi ada satu saja masalah, jalan raya kita perlu diperbaiki. Kadang-kadang pagi-pagi jam. Jadi memudahkan orang ramai dan kurang berlakunya kemalangan,” katanya.

Secara keseluruhan, suara pengundi selepas menunaikan undi memperlihatkan harapan yang jelas: Johor mesti terus maju, tetapi rakyat biasa tidak boleh ditinggalkan dalam arus pembangunan.

Bagi mereka, kerajaan yang dipilih selepas PRN bukan sahaja perlu menjaga kestabilan politik, tetapi juga memastikan ekonomi rakyat, bantuan, pendidikan, kos sara hidup, peluang pekerjaan, dan kemudahan asas terus menjadi keutamaan.– The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author