Terkini
Prof Teo tegas Kampung Baharu Cina perlu selari identiti Melayu-Islam
- Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong tegas menyatakan bahawa pembangunan kampung baharu Cina perlu selari dengan identiti Melayu-Islam dan tidak seharusnya hanya dilihat dalam konteks kepelbagaian etnik dan budaya semata-mata.
- “Namun ini bertentangan dengan pembangunan negara lebih menyeluruh yang wajib ikut menyerlahkan identiti Melayu-Islam, walaupun di lokasi yang berupa penempatan etnik lain sepenuhnya.
- “Ini kerana negara ini ialah bumi Melayu-Islam. Justeru budaya Melayu dalam bentuk Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) 2021, selain status kekuasaan politik Melayu pada Perlembagaan Persekutuan, bukan sahaja hendaklah, malah wajib menjadi keutamaan pada setiap masa,” jelas beliau.
KUALA LUMPUR: Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong tegas menyatakan bahawa pembangunan kampung baharu Cina perlu selari dengan identiti Melayu-Islam dan tidak seharusnya hanya dilihat dalam konteks kepelbagaian etnik dan budaya semata-mata.
Bercakap kepada The Merdeka Times beliau berkata, pendekatan yang mengekalkan kampung baharu Cina sebagai penempatan yang sarat dengan unsur sosiobudaya etnik Cina adalah bertentangan dengan pembangunan negara yang lebih menyeluruh.
“Ini bertentangan dengan pembangunan negara lebih menyeluruh yang wajib ikut menyerlahkan identiti Melayu-Islam, walaupun di lokasi yang berupa penempatan etnik lain sepenuhnya.
“Ini kerana negara ini ialah bumi Melayu-Islam. Justeru budaya Melayu dalam bentuk Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) 2021, selain status kekuasaan politik Melayu pada Perlembagaan Persekutuan, bukan sahaja hendaklah, malah wajib menjadi keutamaan pada setiap masa,” katanya ketika mengulas kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang berkata kemenangan bagi Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya Johor Sabtu ini akan membolehkan perubahan besar dilakukan di 123 kampung baru Cina di negeri itu.
Teo berkata, kampung baharu Cina mempunyai kepentingan yang signifikan dalam landskap politik negara kerana kepadatan penduduk etnik Cina menjadikannya kawasan yang menjadi tumpuan sokongan politik masyarakat berkenaan.
Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan kampung baharu Cina bukan sahaja mempunyai nilai simbolik, malah menjadi “kubu dan benteng” etnik Cina serta “lubuk undi etnik Cina” dalam politik negara.
“Kepentingan kampung baharu Cina oleh sebab kepadatan kependudukan etnik Cina ialah ia tidak lain tidak bukan adalah kubu dan benteng etnik Cina. Dengan ini, ia tempat di mana parti politik Cina pasti dapat meraih undi etnik Cina dengan banyaknya.
“Justeru kampung baharu Cina bukan sahaja simbolik, malah signifikan dari sisi itu, iaitu sebagai lubuk undi etnik Cina dalam politik negara,” katanya.
Mengulas pendekatan pembangunan kampung baharu Cina, Teo berkata masyarakat Cina, khususnya pemimpin mereka, tidak boleh bersifat cauvinis.
Beliau berkata pembangunan kawasan tersebut hendaklah didekati melalui pertimbangan yang realistik dan nasionalistik antara masyarakat majmuk dengan kedudukan etnik Melayu sebagai penduduk asal negara.
Menurutnya, masyarakat Cina yang datang ke negara ini dalam konteks imigresen juga perlu menghayati falsafah peribahasa Melayu “di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.”
Dalam pada itu, Teo menasihatkan pengundi Johor supaya membuat pilihan secara bijaksana dan penuh rasa insaf dengan menjadikan rekod kecemerlangan pemerintahan sebagai faktor terpenting dalam membuat keputusan.
Beliau berkata rekod pentadbiran bukan sahaja mampu menjamin kesinambungan pembangunan, malah membawa kejayaan sedia ada ke tahap yang lebih tinggi, berbeza dengan janji pilihan raya yang menurutnya dibuat oleh pihak yang menyedari mereka tidak akan memenangi PRN Johor.
“Ia dilakukan dengan penuh kesedaran bahawa ia tidak perlu pun dikotakan. Ini kerana pihak yang berjanji itu memang mengetahui dengan tepat bahawa mereka tidak akan pun menang dalam PRN Johor itu,” katanya.-The Merdeka Times