Connect with us

Terkini

Zainul Rijal tolak seruan undi calon Melayu sahaja

Published

on

Foto: Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.
  • Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar tidak bersetuju dengan saranan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya pengundi Melayu mengundi calon Melayu sahaja dalam pilihan raya.
  • “Kalaupun mereka tidak beragama Islam tetapi jika perjuangan mereka selaras dengan perjuangan Islam dan tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan, bagi saya tiada masalah mengundi mereka,” katanya.
  • Dr. Mahathir menerusi satu hantaran di Threads bertajuk “Surat Terbuka Kepada Pemimpin Parti, Penyokong Serta Kesemua Pengundi Melayu” menyeru pemimpin parti, penyokong dan semua pengundi Melayu supaya mengutamakan calon Melayu dalam Pilihan Raya Umum (PRU), tanpa mengira parti politik atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar tidak bersetuju dengan saranan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya pengundi Melayu mengundi calon Melayu sahaja dalam pilihan raya.

Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau berkata terdapat calon di seluruh negara yang bukan berbangsa Melayu tetapi beragama Islam, justeru faktor bangsa semata-mata tidak seharusnya dijadikan penentu dalam memilih wakil rakyat.

Menurutnya, sekiranya seseorang calon itu bukan beragama Islam sekalipun, namun perjuangannya selaras dengan prinsip Islam serta tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan, beliau berpandangan tiada masalah untuk pengundi memberikan sokongan kepada calon berkenaan.

“Kalaupun mereka tidak beragama Islam tetapi jika perjuangan mereka selaras dengan perjuangan Islam dan tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan, bagi saya tiada masalah mengundi mereka,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa perjuangan yang dibawa oleh seseorang calon adalah lebih penting berbanding faktor ras.

“Pada saya perjuangan yang lebih penting berbanding dengan ras,” katanya lagi.

Sebelum ini, Dr. Mahathir menerusi satu hantaran di Threads bertajuk “Surat Terbuka Kepada Pemimpin Parti, Penyokong Serta Kesemua Pengundi Melayu” menyeru pemimpin parti, penyokong dan semua pengundi Melayu supaya mengutamakan calon Melayu dalam Pilihan Raya Umum (PRU), tanpa mengira parti politik atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurut beliau, orang Melayu perlu mengundi calon Melayu sekiranya mahu negara ini terus kekal sebagai Tanah Melayu, sambil memaklumkan identiti calon Melayu akan diumumkan apabila PRU diadakan.

Dalam hantaran sama, Dr. Mahathir turut menyatakan bahawa kesetiaan orang Melayu seharusnya diberikan kepada bangsa Melayu, bukannya kepada parti politik atau NGO.

Beliau mendakwa sekiranya kesetiaan itu dialihkan kepada parti atau kumpulan tertentu, Tanah Melayu akan hilang, sekali gus menyebabkan bangsa Melayu menjadi bangsa yang tidak lagi mempunyai negara.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author