Connect with us

Terkini

Kos sara hidup naik, Aminuddin persoal langkah kerajaan perkukuh simpanan persaraan rakyat

Published

on

Foto: Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Aminuddin Harun.
  • Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Aminuddin Harun hari ini membangkitkan persoalan mengenai strategi kerajaan bagi memastikan rakyat Malaysia mempunyai simpanan persaraan yang mencukupi, khususnya dalam kalangan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), ketika negara berdepan peningkatan kos sara hidup dan menuju status negara menua menjelang 2030.
  • Isu itu dibangkitkan ketika Malaysia dijangka menjadi negara menua menjelang 2030 apabila kira-kira 15 peratus daripada penduduk berusia 60 tahun dan ke atas.
  • Kebimbangan tersebut turut disokong oleh kenyataan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di Dewan Negara pada Mac lalu bahawa dianggarkan sekitar 60 peratus ahli KWSP berpotensi mencapai paras Simpanan Asas sebanyak RM390,000 pada usia 60 tahun menjelang 2030, sekaligus menunjukkan masih terdapat kira-kira 40 peratus ahli yang dijangka gagal mencapai sasaran minimum tersebut.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Aminuddin Harun hari ini membangkitkan persoalan mengenai strategi kerajaan bagi memastikan rakyat Malaysia mempunyai simpanan persaraan yang mencukupi, khususnya dalam kalangan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), ketika negara berdepan peningkatan kos sara hidup dan menuju status negara menua menjelang 2030.

Menerusi soalan yang dikemukakan kepada Menteri Kewangan pada sesi Pertanyaan Lisan Dewan Rakyat, Aminuddin meminta kerajaan menjelaskan langkah yang sedang dan akan diambil bagi memastikan pencarum KWSP mampu menampung keperluan hidup selepas bersara di sebalik tekanan ekonomi semasa.

Isu itu dibangkitkan ketika Malaysia dijangka menjadi negara menua menjelang 2030 apabila kira-kira 15 peratus daripada penduduk berusia 60 tahun dan ke atas.

Dalam masa sama, peningkatan kos sara hidup terus mencetuskan kebimbangan mengenai kecukupan simpanan persaraan rakyat, terutama bagi mereka yang bergantung kepada KWSP sebagai sumber pendapatan selepas tamat tempoh pekerjaan.

Kebimbangan tersebut turut disokong oleh kenyataan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di Dewan Negara pada Mac lalu bahawa dianggarkan sekitar 60 peratus ahli KWSP berpotensi mencapai paras Simpanan Asas sebanyak RM390,000 pada usia 60 tahun menjelang 2030, sekali gus menunjukkan masih terdapat kira-kira 40 peratus ahli yang dijangka gagal mencapai sasaran minimum tersebut.

Ketika ini, struktur tiga akaun KWSP memperuntukkan 75 peratus caruman ke Akaun Persaraan, 15 peratus ke Akaun Sejahtera dan 10 peratus ke Akaun Fleksibel. Akaun Fleksibel diwujudkan bagi membolehkan pengeluaran untuk keperluan mendesak, namun terdapat pandangan bahawa kemudahan itu berpotensi mengurangkan simpanan persaraan sekiranya pengeluaran dibuat secara berlebihan.

Sebelum ini, cadangan supaya lebih banyak simpanan dibenarkan untuk dikeluarkan turut mencetuskan perdebatan. Antara lain, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim pernah mencadangkan supaya 100 peratus dividen KWSP bagi tahun semasa disalurkan ke Akaun Fleksibel bagi membantu perbelanjaan rakyat, namun cadangan itu menerima kritikan kerana dikhuatiri menjejaskan kecukupan simpanan persaraan dalam jangka panjang.

KWSP sebelum ini juga mengingatkan bahawa pengeluaran awal simpanan boleh memberi kesan besar terhadap nilai persaraan seseorang ahli akibat kehilangan pulangan kompaun dalam tempoh yang panjang. Badan itu terus memperkenalkan pelbagai penambahbaikan dasar, termasuk Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA), bagi mengukuhkan tahap simpanan persaraan rakyat selaras dengan peningkatan kos sara hidup.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author