Otomobil
Kajian menyeluruh diperlukan sebelum laksana dasar pelupusan kereta lama – Penganalisis
- Penganalisis industri automotif, Gan Yong Li berkata kerajaan perlu mempertimbangkan untuk mewujudkan mekanisme khas pembelian kenderaan baharu, khususnya bagi golongan berpendapatan sederhana dan rendah, supaya mereka tidak terbeban dengan hutang baharu.
- “Mungkin dari kerajaan boleh mewujudkan satu inisiatif khas bagi bantuan membeli kenderaan baru agar pengguna tidak berdepan bebanan hutang lagi. Pada pendapat saya, insentif RM4,000 itu sebenarnya tidak mencukupi, adalah lebih baik jika kerajaan boleh mewujudkan cadangan atau langkah untuk kurangkan bebanan membayar hutang kereta baru,” ujarnya.
KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran menjalankan kajian lebih menyeluruh sebelum melaksanakan inisiatif pelupusan kenderaan berusia lebih 20 tahun bagi memastikan dasar itu tidak membebankan rakyat, khususnya dari segi kemampuan kewangan.
Penganalisis industri automotif, Gan Yong Li, berkata langkah kerajaan memperkenalkan geran padanan sehingga RM4,000 bagi menggalakkan pemilik melupuskan kenderaan lama dan membeli kereta nasional baharu wajar dipuji, namun pendekatan itu perlu mengambil kira keupayaan sebenar pengguna, bukan sekadar bergantung kepada insentif yang ditawarkan.
“Secara peribadi, saya menyambut baik inisiatif tersebut. Namun, hakikatnya bukan mudah untuk seseorang membuat pinjaman baharu, terutamanya bagi individu yang sudah berusia atau tidak lagi layak memohon pembiayaan atas pelbagai faktor.
“Ini antara sebab mengapa bantuan yang diberikan kerajaan kadangkala menjadi terhad. Insentif yang disediakan juga mungkin tidak mencukupi untuk benar-benar membantu pengguna dalam erti kata sebenar,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times hari ini.
Gan berkata kerajaan perlu mempertimbangkan untuk mewujudkan mekanisme khas pembelian kenderaan baharu, khususnya bagi golongan berpendapatan sederhana dan rendah, supaya mereka tidak terbeban dengan hutang baharu.
“Mungkin dari kerajaan boleh mewujudkan satu inisiatif khas bagi bantuan membeli kenderaan baru agar pengguna tidak berdepan bebanan hutang lagi.
“Oleh kerana itu, pada pendapat saya, insentif RM4,000 itu sebenarnya tidak mencukupi, adalah lebih baik jika kerajaan boleh mewujudkan cadangan atau langkah untuk kurangkan bebanan membayar hutang kereta baru,” ujarnya.
Beliau turut menekankan bahawa aspek pendidikan dan kesedaran awam juga penting bagi memastikan pengguna memahami keperluan melupuskan kenderaan lama mereka demi keselamatan jalan raya.
“Memang benar, dari segi keselamatan, pelupusan kereta lama wajar dipertimbangkan. Namun ia tidak semestinya menjadi penyelesaian utama kepada kadar kemalangan jalan raya.
“Yang lebih penting ialah mendidik pengguna agar lebih peka terhadap tahap keselamatan kenderaan mereka samada masih selamat digunakan dan tidak membahayakan pengguna lain,” katanya.
Tambahnya, inisiatif pelupusan kenderaan lama bukanlah perkara baharu, namun pelaksanaannya sebelum ini kurang mendapat sambutan kerana kebimbangan terhadap bebanan kewangan.
“Sebelum ini pernah ada skim sama, tetapi sambutannya sederhana. Faktor utama ialah kemampuan pengguna untuk menanggung bayaran bagi kereta baharu.
“Tambahan pula, masih belum jelas sama ada geran padanan RM4,000 itu diberikan sebagai rebat tunai tambahan atau sekadar diskaun harga kereta, serta sama ada ia bergantung pada kondisi kenderaan lama. Jadi, kerajaan perlu membuat kajian lebih terperinci,” tegasnya.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan inisiatif geran padanan sehingga RM4,000 bagi pemilik kenderaan berusia lebih 20 tahun yang bersetuju melupuskan kenderaan mereka dan membeli kereta nasional baharu.
Beliau berkata langkah itu diambil kerana kenderaan lama bukan sahaja tidak lagi ekonomik, malah boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.- The Merdeka Times