Aduan
(ADUAN PEMBACA) Taman Rekreasi Kolam Ayer Panas terabai, reaksi DBKL dituntut
Taman Rekreasi Kolam Ayer Panas kini dalam keadaan yang menyedihkan. Pejabat pengurusannya telah ditutup & kemudahan di taman itu juga terabai.
Taman Rekreasi Kolam Ayer Panas kini dalam keadaan yang menyedihkan. Pejabat pengurusannya telah ditutup & kemudahan di taman itu juga terabai. Sampah juga di merata tempat tanpa nampak sebarang kerja pembersihan rutin yang biasa dilakukan.
Taman itu dikelilingi bangunan flat kos rendah skim perumahan kerajaan, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas yang majoriti penduduknya adalah B40 yang menjadikan taman itu sebagai kawasan beriadah mereka.
Apakah sebenarnya yang telah berlaku kepada Taman Rekreasi Kolam Ayer Panas ini?
Kenapa secara tiba-tiba, pejabat pengurusannya ditutup dan tiada lagi kerja-kerja pembersihan serta penyelenggaran dijalankan?
Apakah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menghadapi masalah kewangan atau kekurangan pekerja untuk melakukan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan sehinggakan Taman Rekreasi Kolam Ayer Panas itu terabai?
Ataupun adakah Taman Rekreasi Kolam Ayer Panas itu telah dijual untuk dibangunkan? Jikalau ya, kepada siapakah ianya dijual? Adakah menerusi tender terbuka atau rundingan terus? Jikalau dijual, maka timbul persoalan bagaimana tanah yang digazetkan sebagai Kawasan Lapang & Sukan itu boleh dijual?
Penduduk dalam kebingungan apakah yang telah terjadi kepada Taman Rekreasi Kolam Ayer Panas. Kami menuntut penjelasan dari pihak DBKL.
Pembaca prihatin yang juga penduduk sekitar Taman Rekreasi Kolam Ayer Panas