Connect with us

Agama

Ummah Malaysia kecam cadangan Lim Guan Eng persoal peruntukan JAKIM

Published

on

Foto: Pengerusi UMMAH Malaysia, Mohd Zai Mustafa

 

  • Pengerusi UMMAH Malaysia, Mohd Zai Mustafa, berkata berkata, kenyataan Lim Guan Eng seolah-olah cuba menimbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan Persekutuan dan institusi Islam, dengan menggambarkan seolah-olah kerajaan menindas agama lain dan tidak bersikap adil dalam dasar pengagihan kewangan.
  • “Peruntukan yang diberikan kepada JAKIM bukan hanya untuk masjid dan surau, tetapi turut merangkumi pembangunan pendidikan Islam, ekonomi halal serta pembangunan sosial ummah di negara ini,” katanya sewaktu dihubungi The Merdeka Times hari ini.

 

KUALA LUMPUR — Pertubuhan Ummah Malaysia menegaskan bahawa cadangan dikemukakan oleh Penasihat DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng, berhubung peruntukan pembangunan Islam kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) adalah tidak munasabah dan mempunyai agenda tersirat.

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa, berkata tindakan Lim Guan Eng yang membandingkan jumlah peruntukan bagi pembangunan Islam dengan dana rumah ibadat bukan Islam memberi konotasi seolah-olah wujud ketidakadilan dalam pengagihan dana kerajaan.

“Peruntukan yang diberikan kepada JAKIM bukan hanya untuk masjid dan surau, tetapi turut merangkumi pembangunan pendidikan Islam, ekonomi halal serta pembangunan sosial ummah di negara ini,” katanya sewaktu dihubungi The Merdeka Times hari ini.

Mohd Zai berkata, kenyataan Lim Guan Eng seolah-olah cuba menimbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan Persekutuan dan institusi Islam, dengan menggambarkan seolah-olah kerajaan menindas agama lain dan tidak bersikap adil dalam dasar pengagihan kewangan.

“Dahulu pun pemimpin DAP sering mempersoalkan peruntukan kepada Jakim. Adakah mereka sebenarnya cuba mempertikai kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dalam negara ini?” soal beliau.

Tambahnya, rumah ibadat bukan Islam di seluruh negara sudah berada pada tahap yang baik dan selesa, malah kerajaan telah menyediakan garis panduan rasmi serta daftar rumah ibadat bukan Islam (RIBI) untuk memastikan sokongan kewangan diagihkan secara tersusun dan adil.

Kenyataan Mohd Zai itu dibuat susulan laporan The Merdeka Times baru-baru ini yang memetik cadangan Lim Guan Eng supaya kerajaan negeri Pulau Pinang menaikkan peruntukan RIBI kepada 10 peratus daripada jumlah keseluruhan peruntukan Islam.

Guan Eng berhujah langkah itu boleh menjadi contoh kepimpinan inklusif yang wajar dicontohi oleh kerajaan Persekutuan.

Menurut Guan Eng, peruntukan pembangunan Islam meningkat daripada RM1.5 bilion dalam Belanjawan 2024 kepada RM2 bilion (2025) dan RM2.6 bilion (2026), manakala dana untuk agama bukan Islam kekal RM50 juta tanpa sebarang peningkatan.-The Merdeka Times

 

 

 

 

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author