Connect with us

Terkini

Hukuman mati masih dalam undang-undang, tetapi tidak dilaksana – Timbalan Menteri

Published

on

Foto: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kula Segaran.

 

  • Walaupun reformasi undang-undang telah dilakukan melalui pemansuhan hukuman mati mandatori, kuasa untuk menjatuhkan hukuman mati masih terletak pada budi bicara hakim, yang wajib menilai setiap kes berdasarkan fakta dan keadaan yang unik dan berbeza.
  • Mengenai cadangan untuk menghapuskan hukuman mati sepenuhnya, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kula Segaran menjelaskan bahawa kerajaan mengambil pendirian berhati-hati kerana isu tersebut melibatkan keseimbangan antara kepentingan awam, keadilan kepada mangsa serta prinsip hak asasi manusia.

 

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan MADANI menegaskan bahawa hukuman mati masih kekal sebagai sebahagian daripada sistem perundangan Malaysia, namun pelaksanaannya terus digantung selaras dengan moratorium yang dipersetujui kerajaan sejak 2018, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kula Segaran.

Beliau berkata, walaupun reformasi undang-undang telah dilakukan melalui pemansuhan hukuman mati mandatori, kuasa untuk menjatuhkan hukuman mati masih terletak pada budi bicara hakim, yang wajib menilai setiap kes berdasarkan fakta dan keadaan yang unik dan berbeza.

Kula Segaran menjelaskan bahawa reformasi besar pertama dilakukan melalui Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 [Akta 846], yang memansuhkan hukuman mati mandatori bagi 11 kesalahan jenayah dan membuka ruang kepada hukuman alternatif penjara 30 hingga 40 tahun.

Akta berkenaan turut memansuhkan hukuman pemenjaraan sepanjang hayat bagi 24 kesalahan, selaras pendekatan pemulihan dan pemberian peluang kedua dalam sistem keadilan jenayah.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan turut mewujudkan mekanisme semakan hukuman melalui Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat 2023 [Akta 847], yang memberi peluang kepada banduan yang sebelum ini dijatuhi hukuman mati mandatori untuk memohon semakan di Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun, mengenai cadangan untuk menghapuskan hukuman mati sepenuhnya, Kula Segaran menjelaskan bahawa kerajaan mengambil pendirian berhati-hati kerana isu tersebut melibatkan keseimbangan antara kepentingan awam, keadilan kepada mangsa serta prinsip hak asasi manusia.

Untuk tujuan itu, kerajaan sedang menubuhkan Kumpulan Kerja Kajian Dasar dan Hala Tuju Hukuman Mati, yang akan bekerjasama dengan Jawatankuasa Pembaharuan Undang-Undang Jenayah Malaysia (CLRC).

Kumpulan kerja tersebut akan melibatkan penyertaan semua pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan, badan peguam, pakar akademik undang-undang jenayah dan pertubuhan bukan kerajaan bagi memastikan kajian dijalankan secara menyeluruh dan inklusif.

“Keputusan muktamad kerajaan perlu dibuat berdasarkan pendekatan berasaskan bukti, dan selepas mendengar pandangan semua pihak termasuk pakar undang-undang, keluarga mangsa, keluarga banduan akhir serta pihak berkepentingan lain,” katanya. -The Merdeka Times

 

 

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author