Antarabangsa
Imam dari Bihar maut ‘dipukul, dicampak’ dari kereta api
- Mangsa yang berasal dari Bihar, sebuah negeri di timur India yang bersempadan dengan Nepal, sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Siwan.
- Isteri mangsa, Tabassum Khatoon, memaklumkan bahawa suaminya, Tausif Raza Mazhari, sempat menghubunginya kira-kira jam 10.30 malam pada hari kejadian untuk memberitahu bahawa dia sedang dipukul oleh penumpang lain yang menuduhnya mencuri, sebelum panggilan tersebut terputus.
- Laporan bedah siasat yang diperolehi menunjukkan terdapat lima kesan kecederaan pada bahagian muka, bahu, dan dada mangsa, selain mengalami patah tulang tengkorak serta keseluruhan tulang rusuk.
BAREILLY (India) – Seorang imam berusia 35 tahun dari Bihar, yang dalam perjalanan pulang selepas menghadiri sambutan Urs di Bareilly, dilaporkan maut selepas dipercayai dipukul oleh sekumpulan penumpang sebelum dicampak keluar dari gerabak kereta api berhampiran stesen Bareilly Cantonment pada malam 26 April lalu.
Memetik laporan The Times of India, mangsa yang berasal dari Bihar, sebuah negeri di timur India yang bersempadan dengan Nepal, sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Siwan selepas tamat majlis tersebut.
Isteri mangsa, Tabassum Khatoon, memaklumkan bahawa suaminya, Tausif Raza Mazhari, sempat menghubunginya kira-kira jam 10.30 malam pada hari kejadian untuk memberitahu bahawa dia sedang dipukul oleh penumpang lain yang menuduhnya mencuri, sebelum panggilan tersebut terputus.
Laporan bedah siasat yang diperolehi menunjukkan terdapat lima kesan kecederaan pada bahagian muka, bahu, dan dada mangsa, selain mengalami patah tulang tengkorak serta keseluruhan tulang rusuk.
Laporan tersebut mengesahkan punca kematian adalah akibat kejutan pendarahan (haemorrhagic shock) dan koma.
Pada peringkat awal, pihak polis mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai kemalangan dan identiti imam tersebut hanya dikenal pasti melalui kad Aadhaar miliknya sebelum mayat dihantar untuk proses bedah siasat.
Walau bagaimanapun, siasatan terperinci mula dilakukan selepas satu rakaman audio perbualan telefon berdurasi 32 saat tular di media sosial, yang memaparkan Mazhari merayu kepada isterinya agar segera menghubungi polis kerana sedang dipukul dengan teruk.
Tabassum turut mendedahkan bahawa ketika dia meminta suaminya mendapatkan bantuan daripada penumpang lain, mangsa menjawab bahawa tiada seorang pun yang tampil membantunya.
Superintendan Polis (Bandar), Manush Pareek, mengesahkan bahawa Mazhari dalam perjalanan dari Bareilly menuju ke Siwan dan pihak polis kini sedang meneliti rakaman audio berkenaan.
Beliau turut memberi jaminan kepada ahli keluarga mangsa bahawa satu laporan maklumat pertama (FIR) akan didaftarkan. – The Merdeka Times