Agama
RM500 solat jenazah tular, Mufti tegas solat jenazah tidak perlu dibayar
- “Pengurusan jenazah ataupun solat jenazah tidak memerlukan kepada bayaran. Ia memerlukan kesungguhan kita untuk mendoakan si mayat, jadi tidak perlu kepada pembayaran dan sebagainya,” – Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil
- Penjelasan tersebut hadir susulan isu tular melibatkan sebuah masjid di Kedah yang didakwa mengenakan bayaran RM500 bagi menguruskan solat jenazah sehingga memaksa keluarga si mati meminjam wang demi menunaikan fardu kifayah tersebut.
KUALA LUMPUR— Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil, menegaskan bahawa solat jenazah tidak memerlukan sebarang bayaran, sebaliknya ia adalah tanggungjawab fardu kifayah yang perlu dilaksanakan masyarakat dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan mendoakan si mati.
Menurut beliau, ibadah solat jenazah bukanlah satu perkhidmatan yang wajar dikenakan caj, apatah lagi sehingga membebankan waris yang berada dalam keadaan berduka.
“Solat jenazah tidak memerlukan kepada bayaran. Ia memerlukan kesungguhan kita untuk mendoakan si mayat, jadi tidak perlu kepada pembayaran dan sebagainya,” katanya sewaktu dihubungi The Merdeka Times.
Penjelasan tersebut hadir susulan isu tular melibatkan sebuah masjid di Kedah yang didakwa mengenakan bayaran RM500 bagi menguruskan solat jenazah sehingga memaksa keluarga si mati meminjam wang demi menunaikan fardu kifayah tersebut. Kejadian itu mencetuskan kebimbangan orang ramai mengenai etika pengurusan masjid.
Bagaimanapun, beliau menggalakkan masjid menyediakan tabung derma am atau khairat khas yang boleh diperluaskan penggunaannya untuk membantu golongan miskin, termasuk keluarga yang berdepan kos pengurusan jenazah.
“Khairat boleh diperluaskan terma ini untuk membantu golongan miskin sebegini. Jadi, kita maklumkan kepada orang ramai atau buat kutipan derma. Tidak perlu meminjam wang masjid,” ujarnya.
Ahmad Fauwaz menegaskan bahawa bukan tujuan pihak berkuasa agama untuk mengharamkan perbuatan memberi upah, namun secara etika, ia tidak sesuai kerana seolah-olah menjadikan doa dan ibadah sebagai sesuatu yang dibayar.
“Sebaliknya, kitalah yang sepatutnya membantu keluarga si mati,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar kerajaan menggalakkan masjid membangunkan dana khairat secara lebih sistematik agar bantuan dapat disalurkan kepada lebih ramai penerima, khususnya keluarga miskin yang mungkin terbeban ketika menguruskan jenazah.
Katanya, insiden yang tular menunjukkan perlunya masjid dan masyarakat lebih peka terhadap keperluan golongan kurang berkemampuan supaya mereka dapat melaksanakan tanggungjawab fardu kifayah tanpa tekanan kewangan.
“Isu seperti ini juga menunjukkan perlunya menjaga golongan miskin agar mereka dapat menunaikan tanggungjawab fardu kifayah,” jelasnya.-The Merdeka Times