Terkini
Ahli Parlimen Kepong persoal polis lepaskan dua suspek kripto selepas ‘satu panggilan’
- “Kami hubungi Polis Diraja Malaysia. Polis datang. Tetapi selepas menerima satu panggilan telefon, dua suspek itu dilepaskan. Ini sangat mencurigakan. Siapa yang menelefon? Siapa yang mengarahkan pelepasan mereka? Atas alasan undang-undang apa dua individu yang ditahan bersama mesin perlombongan kripto boleh dilepaskan begitu sahaja?” – Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng
- Menerusi hantaran di Facebook pada Khamis, Lim mendakwa polis bantuan Port Klang Free Zone sebelum itu telah menahan kedua-dua individu berkenaan serta menemukan sejumlah besar mesin perlombongan mata wang kripto dalam serbuan tersebut.
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng mempersoalkan dakwaan bahawa dua warga asing yang ditahan dalam satu serbuan melibatkan mesin perlombongan mata wang kripto di sebuah gudang di Port Klang Free Zone dilepaskan selepas pihak polis menerima satu panggilan telefon.
Menerusi hantaran di Facebook pada Khamis, Lim mendakwa polis bantuan Port Klang Free Zone sebelum itu telah menahan kedua-dua individu berkenaan serta menemukan sejumlah besar mesin perlombongan mata wang kripto dalam serbuan tersebut.
Menurut beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) kemudian hadir ke lokasi kejadian selepas dihubungi, namun mendakwa kedua-dua suspek dilepaskan sejurus selepas pihak polis menerima satu panggilan telefon.
“Dua suspek itu dilepaskan. Ini sangat mencurigakan,” katanya.
Susulan itu, Lim membangkitkan beberapa persoalan berhubung tindakan berkenaan, termasuk siapakah individu yang membuat panggilan tersebut, siapa yang mengarahkan pelepasan kedua-dua suspek serta apakah asas perundangan yang membolehkan mereka dibebaskan walaupun ditahan bersama mesin perlombongan mata wang kripto.
Beliau turut mempersoalkan sama ada undang-undang negara boleh diketepikan hanya disebabkan satu panggilan telefon.
“Adakah undang-undang negara ini boleh diketepikan hanya kerana satu panggilan telefon?” soalnya.
Sehubungan itu, Lim menggesa pihak berkuasa, khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan PDRM, memberikan penjelasan berhubung dakwaan tersebut serta menjalankan siasatan bagi memastikan keyakinan orang ramai terhadap penguatkuasaan undang-undang tidak terjejas.
Setakat hantaran itu dimuat naik, tiada sebarang kenyataan rasmi daripada PDRM atau KDN berhubung dakwaan yang dibangkitkan oleh Lim Lip Eng. -The Merdeka Times