Connect with us

Teknologi

MEF gesa majikan dan kerajaan perkukuh latihan pekerja hadapi era AI

Published

on

Foto: Presiden MEF, Datuk Dr. Syed Hussain Husman

 

  • “Isu sebenar bukan kezaliman AI, tetapi bagaimana peralihan teknologi ini diurus. Majikan, kerajaan dan institusi latihan mesti bekerjasama memastikan pekerja diberi ruang untuk meningkatkan kemahiran agar kekal relevan dan berdaya saing dalam pasaran kerja baharu,” – Presiden MEF, Datuk Dr. Syed Hussain Husman
  • Syed Hussain turut menjelaskan bahawa kehadiran AI tidak sepatutnya dianggap ancaman kepada tenaga kerja, sebaliknya membuka peluang baharu dalam bidang analitik data, keselamatan siber, pengurusan teknologi dan reka bentuk sistem.
  • Beliau menegaskan, pekerja perlu beralih daripada budaya “bekerja seperti mesin” kepada “bekerja bersama mesin.”

 

KUALA LUMPUR – Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menggesa majikan, kerajaan dan institusi latihan agar memperkukuh kerjasama strategik dalam menyediakan peluang peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) kepada tenaga kerja negara bagi memastikan mereka kekal relevan dalam pasaran kerja baharu yang semakin didorong oleh teknologi Kecerdasan Buatan (AI).

Presiden MEF, Datuk Dr. Syed Hussain Husman, berkata kemajuan AI adalah satu bentuk transformasi yang tidak dapat dielakkan dalam dunia pekerjaan, namun proses peralihan ini mesti diurus secara seimbang, beretika dan berpusatkan manusia.

Beliau menegaskan bahawa teknologi tidak seharusnya menggantikan tenaga manusia, sebaliknya menjadi alat yang memperkukuh keupayaan mereka.

“Isu sebenar bukan kezaliman AI, tetapi bagaimana peralihan teknologi ini diurus. Majikan, kerajaan dan institusi latihan mesti bekerjasama memastikan pekerja diberi ruang untuk meningkatkan kemahiran agar kekal relevan dan berdaya saing dalam pasaran kerja baharu,” katanya kepada The Merdeka Times.

Menurut beliau, penggunaan AI sememangnya dapat meningkatkan produktiviti dan kecekapan organisasi, namun nilai-nilai kemanusiaan seperti empati, kreativiti dan kebijaksanaan moral tetap tidak dapat digantikan oleh mesin.

Oleh itu, beliau menyeru semua pihak supaya memupuk pendekatan “human-centric AI adoption”, iaitu pelaksanaan teknologi yang menekankan kesejahteraan dan pembangunan sosial pekerja.

Dr. Syed Hussain turut menjelaskan bahawa kehadiran AI tidak sepatutnya dianggap ancaman kepada tenaga kerja, sebaliknya membuka peluang baharu dalam bidang analitik data, keselamatan siber, pengurusan teknologi dan reka bentuk sistem. Beliau menegaskan, pekerja perlu beralih daripada budaya “bekerja seperti mesin” kepada “bekerja bersama mesin.”

“AI berfungsi paling berkesan apabila ia berkolaborasi dengan manusia, bukan menggantikan mereka sepenuhnya. Justeru, pelaburan dalam program latihan kemahiran masa depan adalah kunci bagi memastikan tenaga kerja kita mampu menyesuaikan diri dengan perubahan ini,” ujarnya.

Dalam kenyataannya, MEF turut mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan insentif fiskal dan geran latihan kepada majikan yang melaksanakan program peningkatan kemahiran digital, selain membangunkan kerangka etika dan tadbir urus AI bagi memastikan teknologi digunakan secara adil dan bertanggungjawab.

Beliau juga menegaskan bahawa pembangunan manusia dan teknologi perlu bergerak seiring, melalui dasar yang inklusif dan mampan.

“AI seharusnya menjadi pemangkin kepada ekonomi manusia bernilai tinggi, bukan alat penghapusan pekerjaan,” katanya sambil menambah bahawa dasar transformasi tenaga kerja berasaskan AI perlu dijadikan agenda nasional.

“Malaysia mesti mengambil pendekatan ‘AI for People, not AI over People’.

Dengan dasar berpandangan jauh dan latihan berterusan, kita bukan sekadar pengguna AI, tetapi mampu menjadi peneraju dalam ekosistem pekerjaan masa depan yang seimbang antara teknologi dan kemanusiaan,” katanya.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author