Agama
MAIS, JAIS disaran tubuh pasukan khas pantau hartanah elak diceroboh
- MAIS dan JAIS disarankan menubuhkan satu pasukan khas bagi membuat semakan menyeluruh terhadap semua hartanah di bawah kawalan dan kelolaan mereka bagi mengelakkan insiden pencerobohan berulang.
- Menurut Peguam, Dr. Zulqarnain Lukman, pasukan khas itu wajar dianggotai peguam, jurunilai, juruukur, juruaudit serta pegawai MAIS dan JAIS sendiri bagi tujuan audit, inventori dan pemantauan berkala.
- Dari sudut perundangan, Dr. Zulqarnain menegaskan undang-undang sedia ada sebenarnya mencukupi untuk membolehkan tindakan pengosongan diambil.
KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) disaran menubuhkan satu pasukan khas bagi membuat semakan menyeluruh terhadap semua hartanah di bawah kawalan dan kelolaan mereka bagi mengelakkan insiden pencerobohan berulang.
Menurut Peguam, Dr. Zulqarnain Lukman, pasukan khas itu wajar dianggotai oleh peguam, juru nilai, juru ukur, juruaudit serta pegawai MAIS dan JAIS sendiri bagi tujuan audit, inventori dan pemantauan berkala.
“Adalah disarankan supaya MAIS dan JAIS menubuhkan satu pasukan khas yang terdiri daripada peguam, jurunilai, juruukur, juruaudit dan pegawai JAIS atau MAIS untuk membuat semakan menyeluruh terhadap semua hartanah mereka dan membuat inventori termasuk membuat lawatan tapak bagi memastikan kejadian pencerobohan seperti ini dapat dibendung.
“Setelah itu, MAIS dan JAIS perlu memasang papan tanda dan memagar kawasan berkenaan. Tindakan seperti ini akan dapat mencegah hal ini daripada berulang,” katanya kepada The Merdeka Times.
Mengulas isu pembinaan bangunan tempat ibadat yang didakwa dibina dengan struktur kekal di atas tanah terbabit, Dr. Zulqarnain menyifatkan keadaan itu sebagai sesuatu yang menghairankan kerana tidak dikesan lebih awal oleh pihak berkuasa.
“Dalam kes ini nampaknya binaan bangunan tempat ibadat tersebut telah dibina dengan struktur kekal.
“Agak menghairankan kenapakah pihak berkuasa tidak menyedari hal ini sebelum orang awam menularkan berita ini baharu hendak diambil tindakan,” tegasnya.
Menurut beliau, situasi itu menunjukkan wujud kelemahan dalam sistem audit dalaman pihak berkuasa agama berkenaan terhadap harta di bawah kawalan dan kelolaan mereka.
Tambah beliau, kelemahan tersebut membuka ruang kepada isu berkenaan dipolemikkan sehingga berpotensi mencetuskan sentimen perkauman dan keagamaan.
Dari sudut perundangan, Dr. Zulqarnain menegaskan undang-undang sedia ada sebenarnya mencukupi untuk membolehkan tindakan pengosongan diambil.
Beliau menjelaskan bahawa tindakan saman sivil boleh difailkan di bawah Aturan 89 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 bagi mendapatkan perintah pengosongan segera serta membuat tuntutan ganti rugi di atas pencerobohan yang dilakukan.
Beliau berkata kerajaan lazimnya memilih pendekatan rundingan dengan pihak yang menceroboh bagi menyelesaikan isu berkenaan secara harmoni tanpa melalui proses mahkamah, khususnya bagi mengelakkan perbalahan berpanjangan melibatkan isu sensitif.
“Namun, amalan yang menjadi kelaziman adalah bagi kerajaan untuk berunding dengan pihak yang menceroboh itu dan mencari situasi yang boleh menyelesaikan hal ini tanpa menggunakan proses mahkamah.
“Melalui kaedah perundingan maka hal-hal sensitif boleh dikawal dengan baik tanpa menyebabkan perbalahan berterusan,” ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan, penceroboh tanah perkuburan Islam di PJS 4, Petaling Jaya dekat sini, diberi tempoh hingga 31 Mac depan untuk mengosongkan tapak.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, menegaskan sekiranya pihak terbabit gagal berbuat sedemikian, tindakan penguatkuasaan seterusnya akan diambil. – The Merdeka Times