Komuniti
Sime Darby Property umum SJKC Regent Elmina, Netizen tuntut keutamaan sekolah kebangsaan
- Dalam hantaran di Facebook, Sime Darby Property memaklumkan bahawa pemasangan lambang rasmi sekolah tersebut menandakan ia hampir siap sepenuhnya dan dijangka menyambut kumpulan pertama pelajar pada Januari 2026.
- Di ruangan komen, wujud pelbagai reaksi daripada netizen yang mempersoalkan mengapa sekolah kebangsaan tidak dibangunkan terlebih dahulu.
- Netizen bernama Alauddin menyuarakan keperluan menekankan sekolah aliran kebangsaan.
- “We want more national schools that emphasize the national language and curriculum, not vernacular schools and UEC,” tegasnya.
KUALA LUMPUR — Pengumuman Sime Darby Property mengenai pencapaian baharu bagi pembinaan SJK(C) Regent Elmina mendapat perhatian ramai netizen, dengan sebahagian besar menzahirkan kebimbangan dan persoalan mengenai keutamaan pembinaan sekolah di kawasan perbandaran Elmina.
Dalam hantaran di Facebook, Sime Darby Property memaklumkan bahawa pemasangan lambang rasmi sekolah tersebut menandakan ia hampir siap sepenuhnya dan dijangka menyambut kumpulan pertama pelajar pada Januari 2026.
Sekolah berkenaan dilengkapi 36 bilik darjah, dewan serbaguna, bilik khas, kemudahan prasekolah serta pelbagai fasiliti lain.
Namun, di ruangan komen, wujud pelbagai reaksi daripada netizen.
Ada yang berterima kasih atas usaha menyediakan kemudahan pendidikan, tetapi ramai juga mempersoalkan mengapa sekolah kebangsaan tidak dibangunkan terlebih dahulu.
“Sepatutnya utamakanlah pembinaan sekolah kebangsaan dulu. Ingat Type M & Type I tak mampu beli rumah kat Elmina ke? Sekolah ni bukan tempat menimba ilmu semata-mata, tapi juga tempat penyatuan bangsa,” tulis seorang pengguna, Aamanee Arfan.
Seorang lagi pengguna, Abu Bakar Ahmad pula mempersoalkan tarikh pembinaan SK dan SMK.
“Terima kasih #SimeDarbyProperty kerana membina SJKC. Bila pula nak bina SK dan SMK?”,soalnya.
Ada juga yang membangkitkan persoalan mengenai komposisi penduduk Elmina.
“Elmina ni majoriti Cina ke? Kenapa tak bina SK je?”, tulis Fiq Shafiq.
Sementara itu, Ridzuan Ismail mencadangkan Sime Darby bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan menggunakan kaedah Private Financing Initiative (PFI) bagi membina sekolah kebangsaan dan menengah.
“Sime Darby… u patut bina SK & SMK juga untuk penduduk Elmina. Ni semua nak sumbat ke SMK Saujana Utama, mana muatnya…”
Netizen lain, Alauddin, pula menyuarakan keperluan menekankan sekolah aliran kebangsaan.
“We want more national schools that emphasize the national language and curriculum, not vernacular schools and UEC,” tegasnya.
Hantaran berkenaan sehingga kini mendapat ratusan reaksi dengan majoriti perbincangan berkisar soal kepentingan sekolah kebangsaan sebagai medium perpaduan, berbanding sekolah vernakular yang dilihat sesetengah pihak sebagai kurang mendukung matlamat integrasi nasional. -The Merdeka Times