Komuniti
(VIDEO) Teks Perlembagaan Bahasa Melayu: Cabaran utama bukan terjemahan, Tetapi sikap – Malcolm Fernandez
- “Kalau kita lihat, versi Perlembagaan dalam bahasa Melayu sudah wujud dan telah dirumuskan selama lebih 20 tahun. Jadi alasan kononnya terdapat kekangan dari segi penterjemahan adalah tidak munasabah. Sebagai rakyat Malaysia, bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan kita.” -Malcolm Fernandez, Peguam
- Mengulas cabaran di mahkamah, Fernandez berkata kecenderungan sebahagian hakim untuk memilih bahasa Inggeris dalam prosiding menunjukkan perjalanan untuk mengiktiraf teks sahih bahasa Melayu masih panjang.
- Namun, beliau optimis bahawa generasi hakim baharu yang dilahirkan daripada universiti tempatan lebih cenderung mengutamakan bahasa Melayu.
KUALA LUMPUR — Peguam terkemuka, Malcolm Fernandez menegaskan bahawa cabaran utama dalam memartabatkan teks sahih Perlembagaan Persekutuan dalam bahasa Melayu adalah sikap dan keengganan pelbagai pihak, termasuk dalam institusi kehakiman sendiri, untuk mengutamakan bahasa kebangsaan.
Dalam wawancara eksklusif bersama The Merdeka Times, beliau menekankan bahawa Perkara 152 Perlembagaan jelas meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, justeru tiada alasan untuk terus bergantung pada versi bahasa Inggeris.
“Kalau kita lihat, versi Perlembagaan dalam bahasa Melayu sudah wujud dan telah dirumuskan selama lebih 20 tahun. Jadi alasan kononnya terdapat kekangan dari segi penterjemahan adalah tidak munasabah. Sebagai rakyat Malaysia, bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan kita,” katanya.

Foto: Peguam terkemuka, Malcolm Fernandez berucap di Konvensyen Perundangan Syariah & Sivil 2025/Cabaran Mahkamah Berkaitan Teks Perlembagaan Bahasa Melayu.
Beliau turut menambah bahawa persepsi masyarakat selepas merdeka yang kurang menjiwai maksud sebenar kemerdekaan menyumbang kepada sikap sambil lewa terhadap penggunaan bahasa kebangsaan.
“Sedihnya, bahasa Melayu masih dianggap sebagai bahasa kedua, walhal ia sepatutnya menjadi bahasa pertama rakyat Malaysia,” jelas beliau.
Mengulas cabaran di mahkamah, Fernandez berkata kecenderungan sebahagian hakim untuk memilih bahasa Inggeris dalam prosiding menunjukkan perjalanan untuk mengiktiraf teks sahih bahasa Melayu masih panjang. Namun, beliau optimis bahawa generasi hakim baharu yang dilahirkan daripada universiti tempatan lebih cenderung mengutamakan bahasa Melayu.
“Pemilihan hakim seharusnya bukan hanya berasaskan pengalaman, tetapi juga keupayaan bertutur dan berfikir dalam bahasa Melayu. Jika tidak, usaha ini akan mengambil masa lebih lama,” tegasnya.
Fernandez turut menyeru mahasiswa undang-undang agar menanam kecintaan terhadap bahasa kebangsaan sejak di bangku pengajian. “Kalau kita sendiri tidak mencintai bahasa Melayu, siapa lagi yang akan melakukannya?” ujarnya.
Ditanya mengenai komitmen politik terhadap isu ini, beliau mengakui masih belum melihat kesungguhan jelas daripada mana-mana parti atau ahli politik.
“Kalau benar ada, kita pasti boleh lihat mereka ke depan memperjuangkan isu ini. Malangnya, setakat ini ia sering dianggap isu kecil,” katanya.
Malcolm antara panel jemputan selain Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi, Felo Penyelidik Utama UKM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong dan Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla dalam Konvensyen Perundangan Syariah & Sivil 2025 yang membincangkan isu cabaran mahkamah berkaitan teks perlembagaan bahasa Melayu hasil anjuran Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA).
Julai lalu, Peguam, Haniff Khatri Abdulla memfailkan saman terhadap Kerajaan Malaysia di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa teks Perlembagaan Persekutuan dalam bahasa kebangsaan merupakan teks sahih yang mengatasi teks bahasa Inggeris. -The Merdeka Times
—