Teknologi
Gencatan senjata dirai tapi mampukah Israel kotakan janji?
- Profesor Madya Dr. Mohd Yazid Zul Kepli dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, berdasarkan sejarah konflik berdarah itu, pelbagai pelanggaran terhadap gencatan senjata sering berlaku sebelum ini.
- Beliau berpendapat jika terdapat mekanisme hukuman serta pemantauan berterusan mampu meningkatkan kepatuhan kepada perjanjian tersebut.
- Menurut Yazid, masyarakat antarabangsa, khususnya umat Islam, menaruh harapan besar agar gencatan kali ini benar-benar membawa kelegaan selepas derita panjang yang dialami rakyat Palestin.
KUALA LUMPUR – Pelaksanaan perjanjian gencatan senjata terbaharu dalam konflik Palestin-Israel disambut dengan harapan tinggi oleh masyarakat antarabangsa, namun keraguan terhadap tahap kepatuhan pihak terlibat masih membayangi usaha damai tersebut.
Pakar Undang-Undang Antarabangsa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Mohd Yazid Zul Kepli berkata, berdasarkan sejarah konflik berdarah itu, pelbagai pelanggaran terhadap gencatan senjata sering berlaku sebelum ini.
Justeru, beliau berpendapat jika terdapat mekanisme hukuman serta pemantauan berterusan mampu meningkatkan kepatuhan kepada perjanjian tersebut.
“Risiko pelanggaran tetap tinggi, khususnya dari pihak Zionis, Israel yang mempunyai rekod panjang melanggar perjanjian dan mencetuskan ketegangan.
“Jika terdapat pemantauan bebas antarabangsa, tekanan diplomatik, dan mekanisme hukuman jika ingkar, maka peluang kepatuhan boleh meningkat sedikit,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times.
Menurut Yazid, masyarakat antarabangsa, khususnya umat Islam, menaruh harapan besar agar gencatan senjata kali ini benar-benar membawa kelegaan selepas derita panjang yang dialami rakyat Palestin.
“Mereka mahu serangan dihentikan segera, keselamatan awam dijamin, dan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan tanpa sekatan.
“Malah, harapan juga tertumpu kepada pembebasan tebusan dan tahanan, serta pembinaan semula infrastruktur penting seperti hospital dan rumah.
“Masyarakat mahu melihat kesungguhan politik untuk menjadikan gencatan senjata ini titik permulaan kepada perdamaian yang adil dan berkekalan, bukan sekadar henti sementara senjata seperti yang sering berlaku sebelum ini,” ujarnya.
Yazid memberitahu, dunia Islam tidak boleh lagi bersikap pasif dan mesti memainkan peranan lebih aktif serta kolektif dalam menangani isu kemanusiaan ini.
Terdahulu, media melaporkan, Hamas mengesahkan bahawa satu perjanjian telah dicapai bagi menamatkan perang di Gaza, yang turut merangkumi pengunduran tentera Israel serta pelaksanaan pertukaran tahanan dan tebusan.
Menurut kenyataan itu, perjanjian berkenaan bertujuan menamatkan genosid terhadap rakyat Palestin serta memastikan pengunduran sepenuhnya penjajahan Israel dari Gaza. – The Merdeka Times