Connect with us

Terkini

Johor dianiaya kerana favoritism dan pilih kasih – TMJ

Published

on

Foto: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim (TMJ).
  • Bertitah dalam program Bual Santai Petang Bersama Orang Muda Johor di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC), baginda berkata terdapat pihak yang memberikan komen bahawa rakyat Johor tidak perlu bergantung kepada kerajaankerana Sultan Johor mampu membantu mereka.
  • “Johor ni, kita ni adalah mangsa dianiayakan kerana favoritism, pilih kasih. Ini masalah negeri Johor. Ada juga yang membuat komen mengatakan, ‘Sultan Johor kaya, suruh Sultan Johor jaga rakyat’. Kalau macam itu, kalau betul nak Sultan Johor jaga rakyat, bagilah saya merdeka. Habis cerita,” titah baginda.

MUAR – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) mendakwa Johor menjadi mangsa layanan tidak adil akibat amalan pilih kasih dalam hubungan antara negeri itu dan Kerajaan Persekutuan, sambil menolak pandangan bahawa kebajikan rakyat Johor perlu dipikul oleh Institusi Diraja semata-mata kerana Sultan Johor memiliki kekayaan.

Bertitah dalam program Bual Santai Petang Bersama Orang Muda Johor di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC), baginda berkata terdapat pihak yang memberikan komen bahawa rakyat Johor tidak perlu bergantung kepada kerajaan kerana Sultan Johor mampu membantu mereka.

Menurut TMJ, pandangan sedemikian mengabaikan hakikat bahawa tanggungjawab menjaga kebajikan rakyat tetap terletak kepada kerajaan yang mentadbir serta perlu disokong oleh agihan hasil yang adil.

“Johor ni, kita ni adalah mangsa dianiayakan kerana favoritism, pilih kasih. Ini masalah negeri Johor. Ada juga yang membuat komen mengatakan, ‘Sultan Johor kaya, suruh Sultan Johor jaga rakyat’.

“Kalau macam itu, kalau betul nak Sultan Johor jaga rakyat, bagilah saya merdeka. Habis cerita,” titah baginda.

Bagaimanapun, TMJ menjelaskan bahawa Johor kekal sebagai sebahagian daripada Malaysia dan apa yang diperjuangkan bukanlah pertembungan dengan Kerajaan Persekutuan, sebaliknya tuntutan supaya negeri itu menerima layanan yang lebih adil serta pulangan hasil yang setimpal dengan sumbangannya kepada ekonomi negara.

Menurut baginda, Johor memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi negara dan wajar dilihat sebagai rakan strategik dalam Persekutuan, bukannya sekadar negeri yang bergantung kepada peruntukan pusat.

TMJ turut menegaskan bahawa Johor tidak berniat untuk bermusuh dengan mana-mana pihak, sebaliknya mahu mewujudkan situasi menang-menang yang memberi manfaat kepada rakyat negeri itu dan negara secara keseluruhannya.

Johor merupakan antara negeri yang menjadi pemacu utama ekonomi negara dengan kedudukannya sebagai hab perindustrian, perdagangan, logistik dan pelaburan di selatan Semenanjung Malaysia.

Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Johor merekodkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berjumlah RM158 bilion pada 2024, menjadikannya ekonomi negeri ketiga terbesar di Malaysia selepas Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Negeri itu juga menyumbang kira-kira 9.5 peratus kepada keseluruhan ekonomi negara.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author