Connect with us

Terkini

Sekatan sembelihan di tempat awam: Muslim boikot beli lembu, cetus panik, protes peniaga Hindu

Published

on

Foto: Tangkap layar klip video tersebut.
  • Ramai pembeli Muslim mula boikot membeli lembu, menjelang Aidiladha susulan penguatkuasaan ketat sembelihan di tempat awam dan sekatan jualan ternakan.
  • Tindakan itu menyebabkan ramai peniaga lembu Hindu bimbang mengalami kerugian kewangan besar.
  • Video dari pasar tempatan pantas tular di media sosial, memaparkan peniaga dan keluarga Hindu bercakap mengenai lembu yang tidak terjual serta kesan terhadap pendapatan harian mereka.

BENGAL BARAT – Perubahan mengejut dalam peraturan perdagangan lembu kini mencetuskan reaksi luar jangkaan di beberapa kawasan di Bengal Barat, India. 

Ramai pembeli Muslim mula boikot membeli lembu, menjelang Aidiladha susulan penguatkuasaan ketat sembelihan di tempat awam dan sekatan jualan ternakan.

Tindakan itu menyebabkan ramai peniaga lembu Hindu bimbang mengalami kerugian kewangan besar.

Video dari pasar tempatan pantas tular di media sosial, memaparkan peniaga dan keluarga mereka bercakap mengenai lembu yang tidak terjual serta kesan terhadap pendapatan harian mereka. 

Situasi itu kini mencetuskan perdebatan lebih besar dalam talian mengenai isu mata pencarian, perdagangan dan bagaimana perubahan polisi memberi kesan kepada rakyat biasa.

Sebuah lagi video dari Bengal Barat turut  mendapat perhatian di media sosial selepas sekumpulan Muslim Bengali dilaporkan berkongsi mesej menyokong perlindungan lembu menjelang sambutan Aidiladha. 

Menurut video tersebut, mereka menyeru orang ramai supaya tidak membawa lembu untuk dijual dan menggalakkan haiwan itu dipelihara di rumah sahaja.

Tindakan penduduk Islam itu juga susulan golongan ulama Islam yang dilaporkan menasihatkan masyarakat Muslim supaya tidak membeli lembu untuk ibadah korban sempena Aidiladha yang dijangka disambut hujung bulan ini, susulan sekatan jualan ternakan yang diperkenalkan kerajaan Bharatiya Janata Party (BJP).

Peniaga berkata, sekatan itu boleh menjejaskan komuniti Goala yang mengusahakan ladang tenusu kecil di seluruh negeri, termasuk penjualan susu, paneer dan lembu tidak lagi menghasilkan susu ketika musim perayaan.

Jabatan Dalam Negeri negeri yang diketuai Ketua Menteri Suvendu Adhikari mengeluarkan notis pada 13 Mei dengan merujuk kepada Akta Kawalan Penyembelihan Haiwan Bengal Barat 1950 serta perintah Mahkamah Tinggi Calcutta pada Ogos 2018 berhubung larangan penyembelihan lembu di tempat awam.

Notis itu tidak mengharamkan penyembelihan lembu sepenuhnya, namun mengenakan sekatan luas serta hukuman penjara dan denda kepada mereka yang melanggar syarat.

Menurut notis tersebut, tiada individu dibenarkan menyembelih lembu jantan, lembu betina, anak lembu atau kerbau tanpa sijil bertulis yang dikeluarkan bersama oleh pihak berkuasa tempatan dan pegawai veterinar kerajaan yang mengesahkan haiwan itu layak disembelih.

Sijil itu juga perlu menyatakan bahawa haiwan berkenaan berusia lebih 14 tahun atau telah hilang keupayaan kekal akibat usia, kecederaan, kecacatan atau penyakit yang tidak boleh disembuhkan.

Perintah Mahkamah Tinggi pada 2018 pula menyatakan bahawa penyembelihan haiwan termasuk lembu dan kerbau di tempat awam adalah dilarang sama sekali. 

Ia turut menyebut bahawa pengorbanan lembu bukan satu kewajipan agama dalam Islam berdasarkan keputusan Mahkamah Agung India.

Imam Masjid Nakhoda di Kolkata, Maulana Shafique Qasmi, menyeru umat Islam supaya tidak melakukan korban lembu ketika Aidiladha.

“Saya menyeru saudara Muslim saya supaya tidak melakukan korban lembu. Malah, mereka patut berhenti makan daging lembu sepenuhnya. 

Biarlah kerajaan pusat mengisytiharkan lembu sebagai haiwan kebangsaan yang dilindungi. Malangnya, saudara Hindu kita yang akan menderita kerana merekalah yang membela dan menjual lembu kepada Muslim ketika Aidiladha. Jutaan rupee bertukar tangan,” katanya.

Seorang lagi tokoh agama dari Furfura Sharif, Pirzada Jiaudin Siddiqui berkata: “Mengapa perlu makan daging lembu? Orang Hindu menyembah lembu. Kita boleh makan kambing atau biri-biri.” – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author