Connect with us

Terkini

DAP pilih Lily di Tiram selepas cadangan pindah Marina cetus polemik

Published

on

Foto: Nor Zulaila Abd Ghani (kiri) dan Marina Ibrahim (kanan).
  • Pencalonan Nor Zulaila atau lebih dikenali sebagai Lily diumumkan beberapa minggu selepas timbul polemik mengenai cadangan untuk memindahkan ADUN Skudai Marina ke Tiram bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
  • “Saya orang Johor. Saya mahu kembali berbakti kepada Johor dan menggunakan pengalaman yang ada untuk membantu rakyat, khususnya di Tiram,” katanya.

JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) akhirnya menamatkan spekulasi berhubung kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram apabila memperkenalkan Nor Zulaila Abd Ghani sebagai bakal calon gabungan itu, selepas kerusi berkenaan sebelum ini dikaitkan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim.

Pencalonan Nor Zulaila atau lebih dikenali sebagai Lily diumumkan beberapa minggu selepas timbul polemik mengenai cadangan untuk memindahkan Marina ke Tiram bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Cadangan tersebut sebelum ini mencetuskan perbahasan apabila pembantu Marina secara terbuka mempersoalkan kewajaran strategi parti menghantar beliau ke kawasan berkenaan, selain membangkitkan beberapa isu berkaitan kedudukan Marina dalam parti.

Bagaimanapun, Marina kemudiannya mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi Skudai dan memilih untuk berundur daripada politik aktif selepas Dewan Undangan Negeri Johor dibubarkan.

Dalam video pengenalan yang dimuat naik di media sosial, Lily memperkenalkan dirinya sebagai anak jati Lenga, Muar yang mempunyai lebih 12 tahun pengalaman dalam bidang politik dan khidmat masyarakat di peringkat Parlimen, negeri serta pihak berkuasa tempatan.

Beliau berkata pengalamannya turun padang sejak 2014 membolehkan beliau memahami pelbagai isu yang dihadapi rakyat, khususnya masalah asas komuniti seperti jalan berlubang, sampah tidak dikutip dan longkang tersumbat.

Menurut Lily, keputusan kembali ke Johor dibuat selepas menerima pelawaan kepimpinan parti untuk berkhidmat di Tiram dan menyumbang pengalaman yang diperoleh sepanjang berkhidmat di Selangor.

“Saya orang Johor. Saya mahu kembali berbakti kepada Johor dan menggunakan pengalaman yang ada untuk membantu rakyat, khususnya di Tiram,” katanya.

Beliau turut menegaskan komitmennya untuk membina Johor yang lebih inklusif, progresif dan menghormati kepelbagaian masyarakat yang menjadi kekuatan negeri itu.

Tiram yang kini disandang BN dilihat sebagai antara kerusi campuran yang berpotensi menjadi tumpuan dalam PRN Johor akan datang, selepas pernah dimenangi PH pada PRU14 sebelum kembali ke tangan BN pada PRN Johor 2022. -The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author