Terkini
Jenayah Seksual kanak-kanak: Dakwaan MP Jelutong terhadap Kelantan tak disokong statistik rasmi kerajaan – Ahli Parlimen Pasir Mas
- Ahli Parlimen Pasir Mas, Fadhli Shaari mendakwa Ahli Parlimen Jelutong memetik artikel bertajuk Kelantan and sexual crimes against children: no solution in sight yang diterbitkan 27 Mei lalu bagi menyokong dakwaan Kelantan negeri yang mencatat jenayah seksual terhadap kanak-kanak paling tinggi.
- Menurut Fadhli, beliau telah meneliti keseluruhan artikel berkenaan dan mendakwa ia tidak mengandungi sebarang jadual, angka atau statistik rasmi yang menyatakan Kelantan merupakan negeri tertinggi bagi jenayah tersebut.
- “Jika benar Kelantan ialah negeri paling teruk seperti didakwa, mengapa statistik rasmi kerajaan sendiri menunjukkan sekurang-kurangnya lapan negeri merekodkan jumlah kes yang lebih tinggi?” katanya.
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Mas, Fadhli Shaari mendakwa Ahli Parlimen Jelutong menggunakan Dewan Rakyat sebagai pentas untuk menyebarkan persepsi terhadap Kelantan ketika membahaskan Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2026.
Beliau mendakwa Ahli Parlimen Jelutong memetik sebuah artikel bertajuk Kelantan and sexual crimes against children: no solution in sight yang diterbitkan pada 27 Mei lalu bagi menyokong dakwaan bahawa Kelantan merupakan negeri yang mempunyai jenayah seksual terhadap kanak-kanak paling tinggi.
Menurut Fadhli, beliau telah meneliti keseluruhan artikel berkenaan dan mendakwa ia tidak mengandungi sebarang jadual, angka atau statistik rasmi yang menyatakan Kelantan merupakan negeri tertinggi bagi jenayah tersebut.
“Hakikatnya, tidak ada walau satu jadual, walau satu angka dan walau satu statistik rasmi yang menyatakan Kelantan ialah negeri tertinggi,” katanya.
Beliau turut mendakwa ahli-ahli Parlimen pembangkang tidak diberikan laluan untuk mencelah ketika perbahasan berlangsung.
Fadhli berkata, Ahli Parlimen Jelutong sepatutnya merujuk Statistik Kanak-Kanak Malaysia 2025 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menggunakan data rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Menurutnya, statistik rasmi itu menunjukkan Kelantan bukan negeri yang merekodkan jumlah tertinggi bagi jenayah seksual melibatkan mangsa berumur 18 tahun dan ke bawah pada 2023.
Beliau mendakwa laporan berkenaan merekodkan Selangor mencatatkan 368 kes, diikuti Sabah 215 kes, Johor 200 kes, Kedah 172 kes dan Kelantan 124 kes.
Fadhli berkata, statistik kesalahan seksual melibatkan kanak-kanak bagi tahun 2024 juga, menurutnya, tidak menyokong dakwaan bahawa Kelantan merupakan negeri paling tinggi merekodkan kes berkenaan.
“Jika benar Kelantan ialah negeri paling teruk seperti didakwa, mengapa statistik rasmi kerajaan sendiri menunjukkan sekurang-kurangnya lapan negeri merekodkan jumlah kes yang lebih tinggi?” katanya.
Beliau turut merujuk statistik penderaan fizikal terhadap kanak-kanak, kes buang bayi dan penculikan kanak-kanak yang menurutnya menunjukkan gambaran lebih menyeluruh mengenai isu keselamatan kanak-kanak di negara ini.
Menurut Fadhli, seseorang Ahli Parlimen tidak seharusnya memilih data tertentu semata-mata untuk membina persepsi politik.
“Jika mahu berhujah menggunakan data, maka gunakan keseluruhan data rasmi kerajaan,” katanya.
Beliau mendakwa apa yang berlaku di Dewan Rakyat bukan lagi sekadar perbezaan pandangan politik, sebaliknya cubaan meletakkan persepsi mengatasi fakta apabila artikel yang disifatkannya sebagai artikel opini dijadikan sandaran, manakala laporan rasmi kerajaan diketepikan.
Fadhli berkata, isu jenayah seksual terhadap kanak-kanak sepatutnya ditangani sebagai isu nasional tanpa mengira negeri atau parti yang memerintah.
“Jenayah seksual terhadap kanak-kanak bukan isu PAS, bukan isu PH, bukan isu Kelantan dan bukan isu Selangor. Ia adalah isu negara. Setiap kes ialah tragedi yang wajib ditangani tanpa mengira negeri dan tanpa mengira parti yang memerintah,” katanya.
Beliau turut mendakwa memperalatkan penderitaan mangsa untuk berkempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sambil memfitnah sebuah negeri tanpa disokong statistik rasmi merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab.
Sehubungan itu, Fadhli berkata Ahli Parlimen Jelutong wajar menarik balik dakwaan tersebut serta memohon maaf kerana didakwa mengelirukan Dewan dengan kenyataan yang menurutnya tidak disokong oleh statistik rasmi kerajaan.- The Merdeka Times