Connect with us

Terkini

Pulau Pinang wajar terima pulangan hasil lebih adil, setimpal sumbangan kepada negara – Ketua Menteri

Published

on

Foto: Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
  • Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata pengiktirafan Perdana Menteri bahawa Pulau Pinang antara negeri yang menyumbang hasil cukai kepada Kerajaan Persekutuan melebihi jumlah perbelanjaan pembangunan diterima mengesahkan tuntutan negeri itu untuk memperoleh pulangan hasil yang lebih adil.
  • Beliau berkata, pengiktirafan tersebut mengesahkan hakikat bahawa Pulau Pinang memainkan peranan penting sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara dan penyumbang bersih kepada hasil Persekutuan.
  • “Apa yang diperjuangkan oleh Kerajaan Negeri untuk mendapatkan layanan istimewa, tetapi bagi memastikan pulangan hasil dibuat secara adil, berasaskan sumbangan sebenar negeri kepada pembangunan negara,” katanya.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata pengiktirafan Perdana Menteri bahawa Pulau Pinang merupakan antara negeri yang menyumbang hasil cukai kepada Kerajaan Persekutuan melebihi jumlah perbelanjaan pembangunan diterima mengesahkan tuntutan negeri itu untuk memperoleh pulangan hasil yang lebih adil.

Beliau berkata, pengiktirafan tersebut mengesahkan hakikat bahawa Pulau Pinang memainkan peranan penting sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara dan penyumbang bersih kepada hasil Persekutuan.

“Saya menyambut baik penjelasan YAB Perdana Menteri di Dewan Rakyat bahawa Pulau Pinang merupakan antara negeri yang menyumbang hasil cukai kepada Kerajaan Persekutuan melebihi jumlah perbelanjaan pembangunan diterima,” katanya dalam satu hari ini.

Menurut Chow, kenyataan Perdana Menteri itu turut mengesahkan perkara yang telah dibangkitkannya berkali-kali sebelum ini bahawa Pulau Pinang wajar menerima pulangan hasil yang lebih adil dan setimpal dengan sumbangannya kepada ekonomi negara.

“Apa yang diperjuangkan oleh Kerajaan Negeri bukanlah untuk mendapatkan layanan istimewa, tetapi bagi memastikan pulangan hasil dibuat secara adil, berasaskan sumbangan sebenar negeri kepada pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkata, sebagai negeri yang menjadi nadi kepada sektor pembuatan, perdagangan, teknologi dan inovasi negara, Pulau Pinang memerlukan pelaburan berterusan bagi memastikan penyediaan infrastruktur strategik terus dipertingkatkan sekali gus mengekalkan daya saing Malaysia di peringkat global.

Chow turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas komitmen sejak 2023 dalam meluluskan dan membiayai pelbagai projek infrastruktur utama di negeri itu, termasuk Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara, pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Projek Penyuraian Trafik Juru–Sungai Dua (Lebuhraya Bertingkat), projek tebatan banjir serta pelbagai inisiatif pembangunan strategik lain.

Beliau turut menghargai tindakan Perdana Menteri mendedahkan angka berkaitan kutipan hasil dan agihan perbelanjaan Persekutuan secara terbuka di Parlimen.

“Pendekatan ini mencerminkan komitmen Kerajaan Madani dalam menjunjung prinsip ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik. Apabila sesuatu dasar disandarkan kepada fakta serta data yang telus, ia akan meningkatkan keyakinan rakyat dan membolehkan perancangan pembangunan negara dibuat secara lebih objektif serta berkesan,” katanya.

Menurut Chow, Pulau Pinang akan terus memainkan peranannya sebagai salah satu enjin pertumbuhan ekonomi negara dengan negeri itu merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM63.96 bilion pada tahun 2025, meliputi RM25.10 bilion pelaburan langsung asing (FDI) dan RM38.85 bilion pelaburan langsung domestik (DDI).

Beliau berkata, Pulau Pinang juga terus mengekalkan kedudukannya sebagai negeri pengeksport utama Malaysia dengan nilai eksport mencecah RM573.91 bilion pada tahun 2025, menyumbang 35.7 peratus daripada keseluruhan eksport negara.

“Pencapaian ini membuktikan bahawa setiap pelaburan yang disalurkan kepada Pulau Pinang bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi negeri, malah memberi pulangan besar kepada ekonomi negara melalui peningkatan eksport, peluang pekerjaan berkualiti, pemindahan teknologi dan hasil cukai kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author