Connect with us

Terkini

Isu pekerja diminta pakai turban: ‘Pinda undang-undang lindung pekerja terhadap diskriminasi’ – Pendakwah

Published

on

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Ustazah Asmak Husin.
  • Pendakwah, Asmak Husin mengulas dakwaan mengenai sebuah outlet di KLCC yang dikatakan menetapkan kod pakaian kepada pekerja wanita berhijab dengan mewajibkan pemakaian turban dan tidak membenarkan pilihan tudung lain.
  • Menurut Asmak, Malaysia bukan sahaja meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, malah Perlembagaan Persekutuan turut menjamin hak setiap individu untuk menganut dan mengamalkan agama masing-masing.
  • “Pemilik outlet perlu faham. Ini bukan soal fesyen atau imej syarikat yang boleh ditetapkan sesuka hati. Ini soal hak asasi dan kebebasan beragama,” katanya.

KUALA LUMPUR – Pendakwah, Asmak Husin, berharap kerajaan meminda undang-undang sedia ada bagi memastikan perlindungan terhadap diskriminasi bukan sahaja diberikan kepada pekerja, malah turut meliputi pencari kerja sejak peringkat iklan jawatan, temu duga dan proses pengambilan pekerja.

Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau mengulas dakwaan mengenai sebuah outlet di KLCC yang dikatakan menetapkan kod pakaian kepada pekerja wanita berhijab dengan mewajibkan pemakaian turban dan tidak membenarkan pilihan tudung lain.

“Saya tidak sangka masih ada aduan seperti ini pada tahun 2026 di Malaysia,” katanya.

Menurut Asmak, Malaysia bukan sahaja meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, malah Perlembagaan Persekutuan turut menjamin hak setiap individu untuk menganut dan mengamalkan agama masing-masing.

“Pemilik outlet perlu faham. Ini bukan soal fesyen atau imej syarikat yang boleh ditetapkan sesuka hati. Ini soal hak asasi dan kebebasan beragama,” katanya.

Beliau berkata, instrumen hak asasi manusia di peringkat antarabangsa turut melarang diskriminasi dalam pekerjaan yang berasaskan agama, termasuk terhadap wanita yang memilih untuk berhijab.

Mengulas dakwaan berkenaan, Asmak berkata sekiranya benar berlaku diskriminasi seperti yang didakwa, isu itu tidak sepatutnya terhenti di media sosial semata-mata.

“Malaysia masih belum menyediakan perlindungan yang jelas kepada pencari kerja yang didiskriminasi sebelum mereka diterima bekerja.

“Tapi tidak mengapalah. Sekurang-kurangnya, aduan seperti ini masih boleh dibawa ke SUHAKAM supaya dapat disiasat dan didokumentasikan,” katanya.

Beliau turut menggesa kerajaan meminda undang-undang sedia ada supaya perlindungan daripada diskriminasi diperluaskan kepada pencari kerja sejak peringkat awal pengambilan pekerja.

Pada masa sama, Asmak berkata pengguna juga mempunyai kuasa untuk membuat pilihan sekiranya benar terdapat syarikat yang mengamalkan dasar bersifat diskriminatif.

“Mesej kita kena sampai kepada mereka bahawa hak untuk mencari rezeki tidak sepatutnya datang dengan syarat seseorang perlu menggadaikan prinsip yang dipegang,” katanya. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author