Connect with us

Terkini

Jawatankuasa Perlindungan Wartawan pecat ahli lembaga pengarah selepas kritik senarai kematian di Gaza

Published

on

Foto: awatankuasa Perlindungan Wartawan (CPJ).
  • Jawatankuasa Perlindungan Wartawan (CPJ) telah mengeluarkan 20 nama wartawan Palestin daripada senarai wartawan yang terkorban.
  • Penerbit Drop Site News, Dr. Nika Soon-Shiong, telah dikeluarkan daripada lembaga pengarah CPJ. Beliau menganggap cadangan itu sebagai pengkhianatan kepada rakan sekerja di Gaza.
  • Tindakan ini mendapat kecaman hebat daripada Forum  Wartawan Palestin, yang menyifatkannya sebagai berat sebelah dan tidak konsisten dengan piawaian profesional

NEW YORK –  Jawatankuasa Perlindungan Wartawan (CPJ), sebuah pertubuhan bukan keuntungan yang bebas dan kononnya memperjuangkan kebebasan akhbar di seluruh dunia, sekali lagi berdepan kontroversi besar. 

Penerbit Drop Site News, Dr. Nika Soon-Shiong, telah dikeluarkan daripada lembaga pengarah CPJ selepas beliau mempersoalkan keputusan organisasi itu mengecualikan beberapa wartawan Palestin daripada senarai kematian di Gaza.

Kontroversi ini bermula pada 27 Mei 2026, apabila penulis Free Beacon, Adam Kredo, menulis sebuah artikel yang mengkritik lembaga CPJ. 

Kredo menyasarkan Soon-Shiong dan pemenang Hadiah Nobel, Maria Ressa, sebagai “suara anti-Israel yang ganas” dan menuduh mereka membandingkan tindakan Israel di Gaza dengan Nazi Jerman.

Tidak lama kemudian, CPJ mengumumkan “semakan penuh” terhadap pangkalan data wartawan yang terbunuh dalam perang Israel-Gaza. 

Semakan ini didakwa berikutan penerbitan senarai jenazah oleh Hamas dan Jihad Islam Palestin (PIJ) yang mengenal pasti beberapa individu tersenarai sebagai wartawan sebagai anggota kumpulan militan.

Soon-Shiong, yang juga Penerbit Drop Site News, menghantar e-mel kepada lembaga CPJ meminta undian mengenai keputusan untuk mengeluarkan nama wartawan Palestin dari senarai tersebut. 

Beliau menyifatkan cadangan itu sebagai “pengkhianatan kepada rakan sekerja kita di Gaza” yang berdepan konflik paling maut bagi wartawan.

“Saya meminta Lembaga mengundi sama ada untuk meneruskan usaha ini, memandangkan ketiadaan objektif yang jelas, skop kerja yang ditentukan, atau penilaian risiko institusi yang berpotensi,” tulis Soon-Shiong dalam e-melnya.

Bagaimanapun, pada 29 Jun 2026, Soon-Shiong mengumumkan di platform X bahawa beliau telah dimaklumkan tidak lagi menjadi ahli lembaga CPJ. CPJ pula memberi alasan bahawa tempoh lima tahun perkhidmatan Soon-Shiong di lembaga telah tamat pada Jun 2026.

CPJ telah mengeluarkan 20 nama wartawan Palestin daripada pangkalan datanya, menjadikan jumlah rasmi wartawan yang terbunuh oleh Israel di Gaza, Iran, Lubnan dan Yaman sejak Oktober 2023 sebanyak 209. 

Namun, Kesatuan Wartawan Palestin merekodkan lebih 270 wartawan terbunuh di Palestin sahaja sejak Oktober 2023. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author