Connect with us

Terkini

Anak membesar di penjara lebih tiga tahun berisiko jejas perkembangan – Pakar

Published

on

Foto: Pakar psikiatri, Dr Rozanizam.
  • Pakar psikiatri, Dr Rozanizam berkata, bukti kajian turut menunjukkan bahawa semakin lama seseorang kanak-kanak terdedah kepada persekitaran penjara serta pelbagai risiko sosial, emosi dan ekonomi yang berkaitan dengan pemenjaraan ibu bapa, semakin besar kesan negatif yang boleh berlaku terhadap perkembangan mereka.
  • “Secara keseluruhan, tempoh kurang daripada tiga tahun dilihat masih munasabah untuk kanak-kanak bersama ibu mereka di penjara, namun pendedahan yang lebih lama berpotensi mendatangkan kemudaratan kepada perkembangan mereka,” katanya.

KUALA LUMPUR – Kanak-kanak yang tinggal bersama ibu mereka di dalam penjara berdepan dilema perkembangan yang kompleks, dengan kajian menunjukkan bahawa tempoh terlalu lama dalam persekitaran penjara boleh memberi kesan negatif terhadap perkembangan psikologi, sosial dan pendidikan mereka sehingga ke alam dewasa.

Pakar psikiatri, Dr Rozanizam Zakaria berkata, sehingga kini tiada kesepakatan global mengenai had umur terbaik bagi kanak-kanak untuk tinggal bersama ibu atau bapa yang dipenjarakan, dengan had umur yang diamalkan di pelbagai negara berbeza daripada serendah tiga bulan sehingga sembilan tahun.

Menurut beliau, kajian mendapati perpisahan antara anak dan ibu bapa yang dipenjarakan boleh memberi kesan yang lebih besar apabila berlaku pada usia yang sangat muda, khususnya di bawah tiga tahun, kerana tempoh tersebut merupakan fasa penting dalam pembentukan ikatan emosi dan perkembangan awal kanak-kanak.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa kanak-kanak yang membesar dalam persekitaran penjara juga berisiko mengalami kekurangan rangsangan perkembangan serta pengabaian terhadap keperluan mereka.

“Disebabkan itu, kebanyakan sistem penjara berusaha mengimbangi keperluan mengekalkan hubungan antara ibu bapa dan anak pada peringkat awal kehidupan, terutama ketika tempoh penyusuan, sebelum mempertimbangkan pemisahan apabila ia dilihat lebih baik untuk kepentingan kanak-kanak,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dr Rozanizam berkata, bukti kajian turut menunjukkan bahawa semakin lama seseorang kanak-kanak terdedah kepada persekitaran penjara serta pelbagai risiko sosial, emosi dan ekonomi yang berkaitan dengan pemenjaraan ibu bapa, semakin besar kesan negatif yang boleh berlaku terhadap perkembangan mereka.

Menurut beliau, kesan kehilangan, trauma, stigma sosial dan cabaran seperti masalah kewangan serta tempat tinggal boleh menjejaskan perkembangan kanak-kanak, sekali gus menyebabkan mereka kurang terlibat dalam pendidikan dan hilang kepercayaan terhadap pihak berkuasa.

Beliau berkata, kesan tersebut berpotensi berlanjutan sehingga dewasa dan mempengaruhi pencapaian pendidikan, kesejahteraan psikologi serta kedudukan sosioekonomi seseorang individu.

Sehubungan itu, beliau berpandangan bahawa berdasarkan bukti kajian sedia ada, kanak-kanak yang tinggal dalam persekitaran penjara melebihi usia sekitar tiga tahun berdepan risiko lebih tinggi mengalami kemudaratan perkembangan, psikologi, pendidikan dan sosial yang berkekalan.

“Secara keseluruhan, tempoh kurang daripada tiga tahun dilihat masih munasabah untuk kanak-kanak bersama ibu mereka di penjara, namun pendedahan yang lebih lama berpotensi mendatangkan kemudaratan kepada perkembangan mereka,” katanya.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author