Terkini
Mahkamah tolak saman pemula Indira Gandhi cabar undang-undang tukar agama kanak-kanak di negeri
- Dalam keputusan disampaikan menerusi prosiding Zoom, Hakim Datuk Aliza Sulaiman yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, memutuskan bahawa Indira Gandhi dan plaintif-plaintif lain, termasuk sebuah pertubuhan agama serta 12 individu, gagal memenuhi syarat ambang untuk membuktikan locus standi untuk membawa tindakan tersebut.
- “Tiada juga bukti bahawa plaintif kelima hingga ke-14 mempunyai anak atau anak-anak yang masih bawah umur dan mungkin terkesan oleh mana-mana peruntukan yang dipertikaikan.
- “Kepentingan mereka dalam perkara ini hanyalah bersifat hipotesis atau akademik semata-mata. Oleh itu, permohonan plaintif ditolak,” kata hakim itu.
KUALA LUMPUR — Mahkamah Tinggi di sini telah menolak saman pemula yang difailkan oleh M. Indira Gandhi dan 13 yang lain yang mencabar kesahan undang-undang di tujuh negeri berkaitan penukaran agama secara unilateral melibatkan kanak-kanak tanpa persetujuan kedua-dua ibu bapa.
Dalam keputusan disampaikan menerusi prosiding Zoom, Hakim Datuk Aliza Sulaiman yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, memutuskan bahawa Indira Gandhi dan plaintif-plaintif lain, termasuk sebuah pertubuhan agama serta 12 individu, gagal memenuhi syarat ambang untuk membuktikan locus standi untuk membawa tindakan tersebut.
“Plaintif pertama (Indira Gandhi) tidak memfailkan sebarang afidavit, untuk menunjukkan bagaimana kepentingannya akan terjejas sekiranya relif yang dipohon tidak diberikan.
Bagi plaintif kedua hingga ke-12 pula, tiada bukti dalam afidavit yang menyokong saman pemula itu, mahupun dalam mana-mana afidavit lain yang difailkan oleh plaintif, yang menunjukkan bagaimana kepentingan mereka terjejas.
“Tiada juga bukti bahawa plaintif kelima hingga ke-14 mempunyai anak atau anak-anak yang masih bawah umur dan mungkin terkesan oleh mana-mana peruntukan yang dipertikaikan.
“Kepentingan mereka dalam perkara ini hanyalah bersifat hipotesis atau akademik semata-mata. Oleh itu, permohonan plaintif ditolak,” kata hakim itu.
Beliau turut menambah bahawa tiada perintah mengenai kos dibuat memandangkan perkara tersebut melibatkan isu yang berkepentingan awam.
Pada Mac 2023, para plaintif memfailkan saman pemula tersebut, yang antara lain bertujuan membatalkan penukaran agama secara unilateral di tujuh negeri melibatkan Kerajaan Negeri Johor, Perlis, Melaka, Kedah, Negeri Sembilan, Perak dan Wilayah Persekutuan.
Pada peringkat awal, Kerajaan Negeri Pahang turut dinamakan sebagai defendan dalam saman itu. Namun, negeri tersebut kemudiannya dikeluarkan daripada tindakan undang-undang berkenaan, selepas meminda undang-undang negerinya bagi menghalang penukaran agama secara unilateral.
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Majlis Agama Islam Johor, bertindak sebagai pencelah dalam saman pemula tersebut.
Dalam saman itu, para plaintif mendakwa bahawa enakmen negeri-negeri yang dipersoalkan bercanggah dengan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan, sebagaimana ditafsirkan dalam kes penting Indira pada tahun 2018 berhubung penukaran agama secara unilateral.
Perkara 12(4) memperuntukkan bahawa agama seseorang yang berumur di bawah 18 tahun hendaklah ditentukan oleh “ibu atau bapa atau penjaganya”.
Dalam keputusan penting tersebut, mahkamah tertinggi negara memutuskan bahawa perkataan ibu atau bapa dalam peruntukan itu, hendaklah ditafsirkan sebagai ibu dan bapa sekiranya kedua-duanya masih hidup. Oleh itu, persetujuan kedua-dua ibu bapa diperlukan dalam kes penukaran agama anak.
Plaintif juga berhujah bahawa berdasarkan Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan, undang-undang Persekutuan mengatasi mana-mana undang-undang negeri yang tidak selaras dengannya. Sehubungan itu, mereka berpendapat bahawa enakmen negeri yang membenarkan penukaran agama secara unilateral perlu diisytiharkan terbatal dan tidak sah.
Pada tahun 2009, bekas suami Indira Muhammad Riduan Abdullah, telah menukar agama tiga anak pasangan itu kepada Islam tanpa persetujuan Indira dan kemudiannya memohon hak penjagaan anak melalui Mahkamah Syariah.
Pada 29 Jan 2018, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa penukaran agama secara unilateral tersebut adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang.
Sehingga kini, Muhammad Riduan dan anak-anak berkenaan masih gagal dikesan.– BERNAMA