Terkini
‘Bila masa Sanusi suruh orang Cina, India balik negara asal?’ – Peguam
- Peguam, Dr. Shamsher Singh Thind berpandangan kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengenai “tanah asa” dibuat berdasarkan hakikat setiap bangsa mempunyai negara asal masing-masing.
- “Apa yang dia kata ialah setiap bangsa utama di dunia kena ada negara masing-masing. Macam ada Cina, India, Siam, Kemboja dan Vietnam.
- “Atas alasan itu, MB Kedah telah meminta orang Melayu di Malaysia bersatu supaya mereka tak hilang kuasa politik. Tanpa kuasa politik, ada risiko identiti bangsa itu mungkin akan hilang,” jelasnya.
KUALA LUMPUR – Peguam, Dr. Shamsher Singh Thind berpandangan kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengenai “tanah asal” merujuk kepada hakikat bahawa setiap bangsa utama di dunia mempunyai negara asal masing-masing, bukannya menggesa kaum lain di Malaysia kembali ke negara asal nenek moyang mereka.
Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau berkata kenyataan Sanusi telah disalah tafsir apabila ada pihak mendakwa Menteri Besar Kedah itu menuntut kaum bukan Melayu meninggalkan negara ini.
“Apa yang dia kata ialah setiap bangsa utama di dunia kena ada negara masing-masing. Macam ada Cina, India, Siam, Kemboja dan Vietnam,” katanya.
Menurut Shamsher, kenyataan Sanusi itu telah disalah tafsir apabila ada pihak mendakwa Menteri Besar Kedah berkenaan menggesa masyarakat Cina dan India di Malaysia supaya pulang ke negara asal.
“Bila masa MB Kedah suruh orang Cina kat Malaysia balik Cina, atau orang India kat Malaysia balik India?” soalnya.
Beliau berkata, berdasarkan hakikat bahawa setiap bangsa mempunyai negara asal masing-masing, Sanusi menggesa orang Melayu di negara ini supaya terus bersatu bagi memastikan mereka tidak kehilangan kuasa politik.
“Atas alasan itu, MB Kedah telah meminta orang Melayu di Malaysia bersatu supaya mereka tak hilang kuasa politik. Tanpa kuasa politik, ada risiko identiti bangsa itu mungkin akan hilang,” jelasnya.
Bagi menyokong hujahnya, Shamsher mengambil contoh masyarakat Punjabi yang menurutnya kehilangan identiti tersendiri kerana tidak mempunyai sebuah negara sendiri.
Menurut beliau, masyarakat Punjabi kini lebih dikenali sebagai sebahagian daripada rakyat India berbanding sebagai satu identiti bangsa yang berasingan.
“Sebagai contoh, orang Punjabi telah hilang identiti mereka, dan mereka kini dianggap sebagai orang India, dan bukan orang Punjabi, kerana mereka tidak ada negara sendiri.
“Sebab itu orang Punjabi sejak sekian lama terpaksa melakukan pergolakan untuk membentuk negara Khalistan,” katanya.
Kenyataan Shamsher dibuat susulan kontroversi berhubung kenyataan Sanusi bahawa tanah asal orang Melayu ialah Tanah Melayu, manakala kaum lain mempunyai tanah asal masing-masing di negara lain, yang mencetuskan pelbagai reaksi daripada pemimpin politik dan orang ramai. – The Merdeka Times