Terkini
Status patriotik Howard Lee makan diri, netizen ungkit isu permohonan kerakyatan British
- Dalam hantaran di Facebook, Howard Lee menulis “Rakyat Malaysia tak ada tanah lain dah. Rakyat Malaysia ada bumi Malaysia ini sahaja.”
- Bagaimanapun, semakan pada ruangan komen mendapati kebanyakan komen tidak tertumpu kepada mesej yang ingin disampaikan, sebaliknya mengaitkan kenyataan tersebut dengan dakwaan bahawa beliau pernah memohon kerakyatan British.
KUALA LUMPUR – Hantaran Facebook Ahli Parlimen Ipoh Timor, Howard Lee, yang mengingatkan rakyat supaya menghargai tanah air mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial apabila ruangan komen dipenuhi sindiran yang mengaitkan beliau dengan isu permohonan kerakyatan British yang pernah menjadi perhatian sebelum ini.
Dalam hantaran itu, Howard Lee menulis bahawa rakyat Malaysia tidak mempunyai tanah air lain selain Malaysia.
“Rakyat Malaysia tak ada tanah lain dah.
Rakyat Malaysia ada bumi Malaysia ini sahaja.”
Bagaimanapun, semakan pada ruangan komen mendapati kebanyakan komen tidak tertumpu kepada mesej yang ingin disampaikan, sebaliknya mengaitkan kenyataan tersebut dengan dakwaan bahawa beliau pernah memohon kerakyatan British.
Komen yang menerima reaksi tinggi datang daripada pengguna Facebook Hafiz Kadir.
“Terbaiklah kata-kata daripada manusia yang pernah memohon kerakyatan British,” katanya dengan komen itu menerima kira-kira 1,100 tanda suka.
Turut menerima perhatian ialah komen Naim Halim yang berbunyi, “Bagaimana pula dengan kerakyatan British? Wallaoweh!”.
Manakala Din Dino pula menulis, “Selepas permohonan kerakyatan United Kingdom (UK) anda ditolak, barulah anda membuat kemunculan semula sebagai rakyat Malaysia.”
Seorang lagi pengguna, Hakim Soh, berkata, “Kata-kata yang penuh hikmah daripada seseorang yang pernah memohon dan ditolak untuk menjadi warganegara British.”
Mohd Syakir Shamsudin pula menyifatkan kenyataan Howard Lee sebagai ironi.
“Lucu! Datangnya daripada seseorang yang suatu ketika dahulu bersungguh-sungguh mahu menjadi warganegara British,” tulisnya.
Nada sama turut dikongsi Mirra Hanaz.
“Anda boleh cuba memohon kerakyatan China pula kerana permohonan kerakyatan British anda sudah ditolak,” katanya.
Hilal Azman Idris pula menyindir, “Kata-kata daripada seseorang yang pernah memohon kerakyatan United Kingdom. Memang kelakar.”
Selain itu, Farhana Yusof berpendapat Howard Lee bukan individu yang sesuai mengeluarkan kenyataan sedemikian.
“Daripada semua orang, mungkin anda bukan orang yang sesuai untuk mengulas mengenai perkara ini,” katanya.
Dalam pada itu, terdapat juga pengguna yang mengalihkan perbincangan kepada isu lain. Azizul Kamal mempersoalkan kedudukan sekolah vernakular, Dong Zong, Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) serta penggunaan bahasa Mandarin.
Manakala Fikri Rahman berpandangan bahawa rakyat Malaysia tidak memerlukan sekolah berasaskan kaum dan menggesa semua pihak menghormati negara tempat mereka berpijak.
Bagaimanapun, tidak semua komen bersifat menyindir.
Sam Chong mengemukakan pandangan mengenai sejarah Tanah Melayu dan Orang Asli, manakala Travis Dee berpendapat kenyataan Howard Lee telah disalah tafsir oleh sebahagian pengguna media sosial. – The Merdeka Times