Connect with us

Antarabangsa

Dikaitkan dengan Jeffrey Epstein, 30 NGO gesa Syed Mokhtar batal lantikan Sultan Ahmed di MMC Ports

Published

on

Foto: Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary
  • Gesaan itu dibuat menerusi sepucuk surat terbuka yang menyifatkan pelantikan Sultan Ahmed sebagai “tidak boleh diterima” atas beberapa faktor, termasuk dakwaan kaitannya dengan fail Jeffrey Epstein, isu ketelusan dalam pertukaran kepimpinan syarikat serta kebimbangan terhadap kepentingan strategik negara.
  • Gabungan NGO itu turut membangkitkan kebimbangan berkaitan aspek geopolitik dan keselamatan negara kerana MMC Ports mengendalikan tujuh terminal utama di sepanjang Selat Melaka.
  • “Meletakkan kawalan langsung terhadap infrastruktur nasional yang begitu penting di tangan seorang warga asing yang dibayangi skandal antarabangsa dan sebelum ini dikaitkan dengan individu yang disyaki ejen Mossad Israel bukanlah demi kepentingan jangka panjang negara,’ jelas surat itu.

KUALA LUMPUR –  Sebanyak 30 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa pemegang saham majoriti MMC Corporation, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, supaya membatalkan keputusan membenarkan Sultan Ahmed Sulayem mengambil alih MMC Port Holdings, pengendali pelabuhan terbesar di Malaysia.

Gesaan itu dibuat menerusi sepucuk surat terbuka bertarikh 20 Julai yang menyifatkan pelantikan Sultan Ahmed sebagai “tidak boleh diterima” atas beberapa faktor, termasuk dakwaan kaitannya dengan fail Jeffrey Epstein, isu ketelusan dalam pertukaran kepimpinan syarikat serta kebimbangan terhadap kepentingan strategik negara.

Menurut surat itu, Sultan Ahmed sebelum ini meletakkan jawatan serta-merta sebagai Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif DP World pada Februari 2026 selepas syarikat berkenaan berdepan penelitian antarabangsa susulan pendedahan dokumen tidak ditapis oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat.

NGO berkenaan mendakwa dokumen tersebut mendedahkan ribuan emel antara Sultan Ahmed dan Jeffrey Epstein sepanjang tempoh 10 tahun, termasuk sebahagiannya yang disifatkan sebagai “lucah”.

Mereka turut mendakwa beberapa institusi kewangan antarabangsa, termasuk dana pencen kedua terbesar Kanada dan agensi kewangan pembangunan United Kingdom, menggantung pelaburan baharu dalam DP World sebelum Sultan Ahmed berundur daripada jawatannya.

Selain itu, surat berkenaan turut mempersoalkan perubahan kepimpinan di MMC Ports yang disifatkan berlaku secara mengejut.

Menurut mereka, Sultan Ahmed mengambil alih kawalan operasi penuh selepas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan syarikat itu digantikan secara tiba-tiba pada 12 Julai lalu.

“Dalam memo dalaman syarikat, tiada sebarang penjelasan diberikan mengenai pemergian mengejut CEO rakyat Malaysia itu, malah tiada pengganti tetap turut diumumkan,” menurut surat tersebut.

Gabungan NGO itu turut membangkitkan kebimbangan berkaitan aspek geopolitik dan keselamatan negara memandangkan MMC Ports mengendalikan tujuh terminal utama yang terletak di sepanjang Selat Melaka.

“Meletakkan kawalan langsung terhadap infrastruktur nasional yang begitu penting di tangan seorang warga asing yang dibayangi skandal antarabangsa dan sebelum ini dikaitkan dengan individu yang disyaki ejen Mossad Israel bukanlah demi kepentingan jangka panjang negara,’ jelas surat itu.

NGO terbabit turut berhujah bahawa Sultan Ahmed kini telah menerima perhatian antarabangsa susulan pendedahan fail Epstein.

“Jika beliau tidak dianggap begitu penting kepada DP World, sukar untuk melihat mengapa beliau perlu dianggap tidak boleh digantikan di MMC Ports,” menurut surat terbuka itu.

Sehubungan itu, mereka menggesa Tan Sri Syed Mokhtar selaku pemegang saham kawalan MMC Corporation supaya menarik balik keputusan membenarkan Sultan Ahmed menerajui MMC Port Holdings.

“Berdasarkan fakta dan alasan yang dinyatakan di atas, kami menggesa Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary membatalkan keputusan yang membenarkan Sultan Ahmed Sulayem mengambil alih MMC Port Holdings,” kata gabungan NGO berkenaan.

Surat terbuka itu ditandatangani 30 NGO, antaranya BDS Malaysia, Sekretariat Solidariti Palestin, Citizens International, CENTHRA Malaysia, HALUAN, MyCARE, Malaysian Protest 4 Palestine (MP4P), Viva Palestina Malaysia, ALIRAN, Pertubuhan IKRAM Malaysia, Yayasan Amal Malaysia dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM). – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author