Terkini
Batal serta-merta perjanjian Lynas-Pentagon, elak Malaysia subahat jenayah genosid Palestin – PPMM
- PPMM mendakwa perjanjian bekalan nadir bumi Lynas-Pentagon bernilai AS$96 juta (RM450 juta) berpotensi menjadikan Malaysia bersubahat dalam genosid terhadap rakyat Palestin, kerana bahan tersebut boleh digunakan dalam rantaian bekalan senjata AS yang seterusnya dihantar ke Israel.
- Mereka merujuk kepada Konvensyen Genosid 1948 dan keputusan ICJ yang melarang negara menjadi “complicity in genocide”.
- PPMM turut mengingatkan bahawa tindakan ini bercanggah dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan dan prinsip hifz al-nafs (pemeliharaan nyawa) dalam Maqasid Syariah.
KUALA LUMPUR – Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menggesa kerajaan membatalkan serta-merta perjanjian bekalan nadir bumi bernilai AS$96 juta (RM450 juta) antara Lynas Rare Earths dan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (Pentagon), dengan tujuan ia berisiko menjadikan Malaysia bersubahat dalam genosid terhadap rakyat Palestin.
Presiden PPMM, Muhamad Hisham Marzuki, dalam kenyataannya, menegaskan bahawa Malaysia adalah negara pihak kepada Konvensyen Pencegahan dan Penghukuman Jenayah Genosid 1948. Di bawah Artikel III(e) , “complicity in genocide” atau bersubahat dengan jenayah genosid merupakan satu kesalahan.
“Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) mengecam sekeras-kerasnya tindakan Kerajaan Malaysia yang membenarkan Lynas Rare Earths meneruskan perjanjian berjumlah US$96 juta selama 4 tahun dengan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (Pentagon).
“Berdasarkan laporan akhbar The Straits Times 18 Julai 2026, jawatankuasa khas Parlimen telah mengadakan pendengaran pada 16 Julai 2026 bagi meneliti perjanjian ini.
“Hasil jawatankuasa tersebut telah mendedahkan terdapat dakwaan serius bahawa bahan nadir bumi dari Malaysia ini akan digunakan untuk sektor pertahanan bagi tujuan pembuatan senjata negara Amerika Syarikat yang turut digunakan oleh Israel dalam perang ke atas Rakyat Palestin di Gaza.” katanya kepada The Merdeka Times.
Perjanjian selama empat tahun yang dimeterai pada Mac lalu itu membolehkan Pentagon membeli oksida nadir bumi ringan dan berat dari kemudahan pemprosesan Lynas di Gebeng, Pahang, bagi menyokong keselamatan negara dan rantaian bekalan AS.
“Sebagai negara majoriti Muslim yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dan konsisten menyokong perjuangan rakyat Palestin, tindakan ini adalah satu pengkhianatan terhadap dasar luar dan prinsip kemanusiaan negara sejagat.” jelasnya.
Bahan itu penting untuk pembuatan senjata moden dan digunakan dalam sistem ketenteraan, menimbulkan kebimbangan bahawa ia boleh menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan senjata AS yang seterusnya digunakan oleh Israel dalam konflik di Gaza.
“Dalam penghakiman di dalam kes Bosnia and Herzegovina v. Serbia and Montenegro 2007, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan bahawa negara yang membekalkan bantuan dengan mengetahui ia akan digunakan untuk melakukan genosid boleh dipertanggungjawabkan,” katanya.
Lebih tegas, dalam Perintah Sementara South Africa v. Israel pada 26 Januari 2024, ICJ telah mengarahkan Israel menghentikan tindakan yang mungkin bersifat genosid di Gaza.” katanya kepada The Merdeka Times.
Tambahan pula, dalam Perintah Sementara South Africa lwn. Israel pada 26 Januari 2024, ICJ telah mengarahkan Israel menghentikan tindakan bersifat genosid di Gaza.
“Mana-mana negara yang terus membekalkan bahan strategik kepada jentera perang yang terlibat berisiko tinggi dianggap bersubahat.”katanya.
PPMM turut mengingatkan bahawa tindakan ini bercanggah dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan dan prinsip hifz al-nafs (pemeliharaan nyawa) dalam Maqasid Syariah.
Kerajaan tidak boleh menggadaikan prinsip ini demi pelaburan tanpa usaha pembelaan sewajarnya kepada rakyat Palestin.
Sehubungan itu, PPMM mengemukakan empat tuntutan tegas. Yang pertama adalah menggantung dan membatalkan serta-merta perjanjian Lynas-Pentagon sehingga siasatan penuh selesai.
Yang kedua, mendedahkan sepenuhnya butiran perjanjian dan mendapatkan jaminan bertulis bahawa bahan tidak akan digunakan untuk tujuan ketenteraan, khususnya yang melibatkan Israel. Seterusnya, menggubal Akta Larangan Eksport Strategik untuk mengharamkan eksport sumber negara bagi kegunaan senjata.
Yang terakhir, melibatkan Parlimen dan NGO dalam membentuk Polisi Nadir Bumi Nasional yang berteraskan etika dan undang-undang antarabangsa.
Presiden PPMM juga telah menegaskan “Kerajaan tidak boleh menggadaikan prinsip ini demi pelaburan serta tanpa usaha pembelaan sewajarnya kepada rakyat Palestin.”
“Seperti yang ditegaskan oleh YB Wong Chen selaku Pengerusi di dalam jawatankuasa tersebut mengikut laporan jawatankuasa menggariskan penyataan pendirian kerajaan tentang dasar melibatkan pelaburan yang menyentuh dasar luar negara Malaysia di dalam hal ini.” tambahnya.
Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) Mengenai Hubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa, yang dipengerusikan oleh Wong Chen (PH-Subang), juga telah mengadakan pendengaran pada 16 Julai lalu dan memberi kerajaan tempoh dua minggu untuk mengumumkan pendirian rasminya.
Jawatankuasa itu menegaskan perjanjian itu dilihat berpotensi merosakkan reputasi Malaysia sebagai penyokong teguh Palestin. – The Merdeka Times