Terkini
Lim Guan Eng cadang STPM jadi peperiksaan tunggal kemasukan Universiti Awam
- Lim Guan Eng mencadangkan supaya semua laluan prauniversiti (STPM, matrikulasi, asasi) disatukan di bawah satu sistem peperiksaan, dengan STPM dijadikan standard penilaian tunggal bagi kemasukan ke universiti awam.
- “Saya berharap kerajaan mempertimbangkan supaya semua peperiksaan disatukan. Biar hanya ada satu peperiksaan sahaja, iaitu STPM,” katanya
- Menurut Lim, sistem yang seragam akan menjadikan proses pemilihan pelajar lebih adil dan telus, selaras dengan amalan di negara-negara seperti China (Gaokao) dan United Kingdom (A-Levels).
BAGAN – Penasihat DAP merangkap ADUN Seputih dan Ahli Parlimen Bagan , Lim Guan Eng mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan satu sistem peperiksaan prauniversiti yang seragam bagi semua pelajar sebagai syarat kemasukan ke universiti awam, dengan STPM dijadikan standard penilaian.
Menurut beliau, ketika ini Malaysia mempunyai beberapa laluan prauniversiti seperti STPM, matrikulasi dan asasi, sedangkan kebanyakan negara hanya menggunakan satu sistem peperiksaan bagi memilih pelajar ke institusi pengajian tinggi.
“Saya berharap kerajaan mempertimbangkan supaya semua peperiksaan disatukan. Biar hanya ada satu peperiksaan sahaja, iaitu STPM,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian insentif kecemerlangan akademik kepada pelajar.
Lim berkata, STPM diiktiraf sebagai antara peperiksaan prauniversiti yang paling mencabar kerana tempoh pengajiannya selama dua tahun, justeru beliau berpendapat sistem yang seragam akan menjadikan proses pemilihan pelajar lebih adil dan telus.
Beliau menjelaskan bahawa pelajar masih boleh mengikuti program matrikulasi atau asasi, namun peperiksaan akhirnya perlu menggunakan standard yang sama seperti STPM.
“Tiada negara lain seperti Malaysia yang mempunyai tiga peperiksaan berbeza untuk memasuki universiti. Di China ada Gaokao, di United Kingdom ada A-Levels, dan negara lain juga menggunakan satu sistem bagi memilih pelajar terbaik,” katanya.
Dalam majlis sama, Lim turut menyampaikan insentif kepada pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang STPM, termasuk mereka yang mencatat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) melebihi 3.50.
Beliau berkata, pemberian insentif itu turut dilaksanakan di kawasan Parlimen Bagan, dengan kira-kira RM50,000 telah diagihkan kepada 46 pelajar sebagai penghargaan atas kecemerlangan akademik mereka. – The Merdeka Times