Connect with us

Terkini

‘Tech Zionism’ bertapak di Forest City, Syed Saddiq sedia siasat

Published

on

Foto: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
  • Kewujudan sebuah komuniti teknologi dikenali sebagai Network School di Forest City, Johor mencetuskan kontroversi susulan gagasan pengasasnya, Balaji Srinivasan, yang pernah menggambarkan visinya sebagai “sesuatu seperti tech Zionism”.
  • Srinivasan ialah pelabur teknologi Amerika Syarikat dan bekas Ketua Pegawai Teknologi Coinbase yang memperjuangkan konsep “network state” atau negara rangkaian.
  • Kontroversi berkenaan kini mendapat perhatian Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berjanji untuk menyiasat sendiri operasi Network School & meneliti dakwaan di media sosial bahawa terdapat warga Israel yang menyertai program tersebut menggunakan pasport kedua.

ISKANDAR PUTERI – Kewujudan sebuah komuniti teknologi dikenali sebagai Network School di Forest City, Johor mencetuskan kontroversi susulan gagasan pengasasnya, Balaji Srinivasan, yang pernah menggambarkan visinya sebagai “sesuatu seperti tech Zionism”.

Srinivasan ialah pelabur teknologi Amerika Syarikat dan bekas Ketua Pegawai Teknologi Coinbase yang memperjuangkan konsep “network state” atau negara rangkaian.

Menerusi konsep itu, beliau membayangkan komuniti yang pada awalnya terbentuk dalam talian berdasarkan kepercayaan dan matlamat bersama, sebelum berhimpun di lokasi fizikal, memperoleh tanah dan akhirnya berusaha mendapatkan pengiktirafan sebagai sebuah negara baharu.

Srinivasan pernah menyamakan gagasan tersebut dengan pembentukan sebuah tanah air oleh komuniti diaspora, sekaligus menggunakan istilah “tech Zionism” bagi menerangkan visinya.

Network School di Forest City berfungsi sebagai komuniti kediaman dan pembelajaran yang menghimpunkan pengasas syarikat pemula, pelabur serta pembangun teknologi dari pelbagai negara.

Pesertanya tinggal dan bekerja bersama-sama sambil menghadiri program berkaitan teknologi, kecerdasan buatan, mata wang kripto, keusahawanan dan pembentukan komuniti.

Program itu dilihat sebagai percubaan awal untuk menguji idea “startup society” Srinivasan, iaitu masyarakat yang dibina seperti sebuah syarikat pemula sebelum berkembang menjadi komuniti fizikal dengan sistem dan identiti tersendiri.

Kewujudan projek berkenaan di Malaysia bagaimanapun menimbulkan persoalan kerana negara ini tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dan secara konsisten menyokong perjuangan rakyat Palestin.

Network School turut menerima perhatian positif daripada Menteri Digital, Gobind Singh Deo yang mengadakan lawatan ke tapak program itu pada 17 April lalu. Gobind dilaporkan berkata apa yang dilihatnya dalam lawatan tersebut mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi baharu bagi bakat teknologi global.

Kenyataan itu dibuat menerusi hantaran media sosial yang kemudiannya dipadamkan. Setakat ini, tiada penjelasan rasmi diberikan mengenai sebab hantaran berkenaan diturunkan.

Srinivasan turut dilapor mengemukakan idea berkaitan laluan visa lebih pantas bagi peserta Network School. Namun, belum ada bukti bahawa cadangan berkenaan telah diluluskan kerajaan atau dijadikan dasar rasmi Malaysia.

Kontroversi berkenaan kini mendapat perhatian Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berjanji untuk menyiasat sendiri operasi Network School. Beliau berkata perkara itu akan diteliti sebelum kebimbangan rakyat dibangkitkan di Parlimen.

Antara perkara yang dijangka diberikan perhatian ialah objektif sebenar program tersebut, proses saringan peserta, kandungan kurikulum serta latar belakang individu yang menyertai inisiatif berkenaan.

Syed Saddiq turut dijangka meneliti dakwaan di media sosial bahawa terdapat warga Israel yang menyertai program tersebut menggunakan pasport kedua.

Kehadiran Network School kini meletakkan kerajaan dalam keadaan yang memerlukan penjelasan jelas samada ia sekadar program untuk menarik bakat teknologi asing atau sebahagian daripada eksperimen lebih besar yang membawa gagasan politik dan pembentukan negara baharu. -The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author