Connect with us

Terkini

Syed Saddiq kekal bebas empat pertuduhan Dana Armada

Published

on

Foto: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
  • Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kekal dilepas dan dibebaskan daripada empat pertuduhan jenayah berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan akhir pihak pendakwaan.
  • Keputusan majoriti 2-1 itu sekali gus mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini membebaskan bekas Menteri Belia dan Sukan berkenaan daripada satu pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan menyalahgunakan harta dan dua pertuduhan pengubahan wang haram.

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kekal dilepas dan dibebaskan daripada empat pertuduhan jenayah berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan akhir pihak pendakwaan.

Keputusan majoriti 2-1 itu sekali gus mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini membebaskan bekas Menteri Belia dan Sukan berkenaan daripada satu pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan menyalahgunakan harta dan dua pertuduhan pengubahan wang haram.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Hakim Che Mohd Ruzima dan Hakim Collin membentuk keputusan majoriti yang memihak kepada Syed Saddiq, manakala Hakim Abu Bakar menyampaikan keputusan berbeza.

Keputusan itu bermakna sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November 2023 tidak akan dikembalikan.

Ia juga menamatkan proses rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan Syed Saddiq daripada keempat-empat pertuduhan berkenaan.

Dalam prosiding rayuan akhir itu, pihak pendakwaan selaku perayu diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Datuk Ahmad Akram Gharib dan Farah Ezlin Yusop Khan.

Syed Saddiq selaku responden pula diwakili barisan peguam yang antaranya diketuai Datuk Hisyam Teh Poh Teik.

Empat pertuduhan dihadapi Syed Saddiq

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali, yang ketika itu merupakan Penolong Bendahari Armada, untuk melakukan pecah amanah jenayah melibatkan dana pertubuhan itu berjumlah RM1 juta.

Rafiq Hakim didakwa diamanahkan dengan penguasaan ke atas dana berkenaan sebelum menyalahgunakannya secara tidak jujur, manakala Syed Saddiq dituduh bersubahat dalam perbuatan tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, Kuala Lumpur pada 6 Mac 2020.

Pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama.

Seksyen 406 memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan serta denda jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalahgunakan harta untuk dirinya sendiri, iaitu wang berjumlah RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise.

Beliau didakwa menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang berkenaan di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, Kuala Lumpur antara 8 hingga 21 April 2018.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun, sebatan serta denda jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq turut menghadapi dua pertuduhan pengubahan wang haram kerana didakwa memindahkan wang masing-masing berjumlah RM50,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya.

Kedua-dua transaksi itu didakwa dilakukan di sebuah cawangan Maybank Islamic Berhad di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Wang tersebut didakwa merupakan hasil daripada aktiviti haram yang berkaitan dengan pertuduhan menyalahgunakan wang RM120,000 berkenaan.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Jika sabit kesalahan, peruntukan tersebut membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Disabitkan Mahkamah Tinggi pada 2023

Pada 9 November 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Syed Saddiq bersalah atas keempat-empat pertuduhan tersebut.

Mahkamah ketika itu menjatuhkan hukuman penjara keseluruhan tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta terhadapnya.

Bagaimanapun, pelaksanaan hukuman tersebut ditangguhkan sementara menunggu proses rayuan.

Syed Saddiq kemudian merayu terhadap sabitan dan hukuman itu di Mahkamah Rayuan.

Pada 25 Jun 2025, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin sebulat suara membenarkan rayuannya.

Panel berkenaan mengetepikan keseluruhan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi sebelum melepas dan membebaskan Syed Saddiq daripada keempat-empat pertuduhan.

Dalam penghakimannya, Mahkamah Rayuan antara lain mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah, termasuk elemen ketidakjujuran dalam pengeluaran dan penggunaan dana RM1 juta tersebut.

Mahkamah Rayuan turut mendapati bukti yang dikemukakan menunjukkan wang daripada pengeluaran RM1 juta itu digunakan untuk program atau aktiviti Armada dan tiada bukti Syed Saddiq menerima wang berkenaan untuk kegunaan peribadinya.

Bagi pertuduhan RM120,000 pula, Mahkamah Rayuan mendapati wang yang dikumpulkan menerusi dua program kutipan dana itu bertujuan membiayai kempen pilihan raya Syed Saddiq dan tidak dibuktikan sebagai milik Armada Bumi Bersatu Enterprise.

Berikutan kegagalan membuktikan kesalahan asas berkaitan wang RM120,000 itu, Mahkamah Rayuan turut memutuskan bahawa dua pertuduhan pengubahan wang haram tidak dapat dikekalkan.

Pendakwaan kemuka rayuan akhir

Tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan sehari selepas keputusan Mahkamah Rayuan disampaikan.

Pihak pendakwaan memohon Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan serta mengembalikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan antara lain berhujah bahawa Mahkamah Rayuan tersilap dari segi undang-undang dan fakta ketika menilai keterangan saksi pendakwaan serta unsur ketidakjujuran dalam kes tersebut.

Keputusan rayuan akhir itu pada asalnya dijadualkan disampaikan pada 30 Jun lalu.

Bagaimanapun, prosiding ditangguhkan hingga 13 Julai selepas Hakim Che Mohd Ruzima dilaporkan tidak sihat dan bercuti sakit.

Mahkamah kemudian menetapkan hari ini untuk menyampaikan keputusan dengan kehadiran kesemua anggota panel.

Dengan keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan hari ini, rayuan akhir pendakwaan ditolak dan keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas serta membebaskan Syed Saddiq daripada semua pertuduhan dikekalkan. -The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author