Connect with us

Terkini

Saw Yee Fung persoal UMNO-PAS, BN dilema politik tengah atau Melayu-Islam – Dr Kartini

Published

on

Foto: Penganalisis Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Kartini Aboo Talib @ Khalid.
  • Penganalisis Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Kartini Aboo Talib @ Khalid berkata, perubahan naratif tersebut boleh memberi tiga kesan utama terhadap BN.
  • “Perubahan naratif Saw Yee Fung membuka tiga kesan utama. Pertama, ia menghakis konsistensi mesej BN. Kedua, ia menimbulkan persoalan tentang hala tuju UMNO dalam politik Melayu-Islam. Ketiga, penafian kerjasama UMNO-PAS boleh memberi kesan bercampur, iaitu mengukuhkan kredibiliti di satu segmen, tetapi mengecewakan segmen lain,” katanya kepada The Merdeka Times.

KUALA LUMPUR – Pendirian Barisan Nasional (BN) menjadi persoalan susulan dakwaan wujudnya persefahaman antara UMNO dan PAS menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Isu itu timbul selepas Setiausaha Agung Pemuda MCA, Saw Yee Fung mempersoalkan dakwaan kerjasama berkenaan yang disifatkannya bercanggah dengan prinsip dan mesej yang dibawa BN sebelum ini.

Mengulas perkembangan itu, Penganalisis Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Kartini Aboo Talib @ Khalid berkata, perubahan naratif tersebut boleh memberi tiga kesan utama terhadap BN.

Menurut beliau, ia boleh menghakis konsistensi mesej BN, menimbulkan persoalan mengenai hala tuju UMNO dalam politik Melayu-Islam serta memberi kesan bercampur kepada sokongan pengundi.

“Perubahan naratif Saw Yee Fung membuka tiga kesan utama.

“Pertama, ia menghakis konsistensi mesej BN. Kedua, ia menimbulkan persoalan tentang hala tuju UMNO dalam politik Melayu-Islam.

“Ketiga, penafian kerjasama UMNO-PAS boleh memberi kesan bercampur, iaitu mengukuhkan kredibiliti di satu segmen, tetapi mengecewakan segmen lain,” katanya kepada The Merdeka Times.

Dr Kartini berkata, perubahan naratif itu boleh menyebabkan pengundi mempersoalkan sama ada BN mempunyai pendirian yang jelas atau sekadar mengikut arus politik semasa.

Menurutnya, kelompok pengundi atas pagar merupakan golongan paling sensitif terhadap perubahan pendirian dan mesej politik.

“Apabila naratif berubah, pengundi mula mempersoalkan sama ada BN mempunyai pendirian yang jelas atau sekadar mengikut arus politik semasa. Pengundi atas pagar paling sensitif terhadap perubahan naratif,” katanya.

Beliau berkata, perubahan itu turut dilihat sebagai petanda bahawa BN masih belum menyelesaikan dilema identitinya dalam landskap politik semasa.

“Adakah BN mahu kekal sebagai parti tengah atau kembali kepada politik penyatuan Melayu-Islam? Ini teka-teki yang menjadi dilema dalam melihat fungsi BN,” katanya.

Terdahulu, Saw berkata, beliau berulang kali memberi jaminan kepada pengundi ketika berkempen di Johor bahawa BN tidak bekerjasama dengan PAS.

“Baru seminggu lalu ketika berkempen di Johor, saya berulang kali memberi jaminan kepada pengundi bahawa BN tidak bekerjasama dengan PAS.

“Untuk menghalang gelombang hijau, rakyat perlu mengundi BN. Saya juga menjelaskan bahawa DAP pernah tiga kali bekerjasama dengan PAS, manakala Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula pernah menjemput PAS menyertai Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam hantaran di Facebook.– The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author