Connect with us

Terkini

Isu integriti Bin Sulayem: Wan Fayhsal desak MMC jelaskan pelantikan

Published

on

Foto: Ketua Penerangan Parti Wawasan Negara, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
  • Menurut beliau, MMC Port mengendalikan rangkaian pelabuhan terbesar negara yang merupakan aset strategik serta menjadi nadi perdagangan, rantaian bekalan, keselamatan maritim dan kedaulatan ekonomi Malaysia.
  • “Dan yang paling penting, adakah pelantikan ini benar-benar selari dengan kepentingan Malaysia?” soalnya.
  • Beliau menggesa Kerajaan Malaysia, MMC Corporation serta semua pihak berkuasa berkaitan memberikan penjelasan secara terbuka mengenai proses penilaian dan due diligence yang telah dilaksanakan sebelum pelantikan berkenaan dibuat.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia digesa memberikan penjelasan terbuka berhubung laporan pelantikan Sultan Ahmed Bin Sulayem sebagai Pengerusi Eksekutif MMC Port Holdings, susulan persoalan mengenai integriti beliau di peringkat antarabangsa.

Ketua Penerangan Parti Wawasan Negara, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, laporan Reuters mengenai pelantikan itu menimbulkan persoalan yang wajar dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Sekiranya laporan tersebut benar, Kerajaan Malaysia bertanggungjawab memberikan penjelasan yang jelas dan terbuka kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan media pada 17 Julai 2026.

Menurut beliau, MMC Port mengendalikan rangkaian pelabuhan terbesar negara yang merupakan aset strategik serta menjadi nadi perdagangan, rantaian bekalan, keselamatan maritim dan kedaulatan ekonomi Malaysia.

Katanya, jawatan sebesar itu bukan sahaja memerlukan pengalaman dalam dunia perniagaan, malah menuntut tahap integriti, kebijaksanaan dan keyakinan awam yang tidak boleh dipersoalkan.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, menurut Reuters, Bin Sulayem sebelum ini melepaskan jawatannya di DP World selepas kembali menjadi perhatian antarabangsa susulan pendedahan dokumen Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat yang mencetuskan kontroversi di seluruh dunia.

“Hakikat itu sahaja sepatutnya mencetuskan proses penelitian atau due diligence yang paling teliti,” katanya.

Beliau kemudian membangkitkan beberapa persoalan kepada kerajaan, termasuk sama ada semakan keselamatan negara dan penilaian integriti telah dijalankan secara menyeluruh sebelum pelantikan itu dibuat.

Wan Ahmad Fayhsal turut mempersoalkan sama ada segala kontroversi yang dilaporkan di peringkat antarabangsa telah dinilai dengan sewajarnya.

Selain itu, beliau mahu kerajaan menjelaskan sama ada kementerian serta agensi pengawal selia berkaitan telah mempertimbangkan risiko reputasi, keselamatan dan kepentingan strategik negara sebelum memberikan kelulusan.

“Dan yang paling penting, adakah pelantikan ini benar-benar selari dengan kepentingan Malaysia?” soalnya.

Menurut beliau, persoalan-persoalan itu bukan sekadar melibatkan soal undang-undang, sebaliknya menyentuh asas tadbir urus yang baik, kebertanggungjawaban serta standard yang sewajarnya dikenakan apabila melibatkan aset strategik negara.

Katanya, pelantikan individu untuk menguruskan infrastruktur kritikal di seluruh dunia lazimnya melalui tapisan keselamatan dan integriti yang sangat ketat.

“Malaysia tidak sepatutnya meletakkan piawaian yang lebih rendah,” katanya.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, sekiranya kerajaan membenarkan pelantikan itu tanpa proses penelitian yang benar-benar menyeluruh dan telus, ia akan menimbulkan persoalan serius mengenai mutu tadbir urus negara.

Katanya, rakyat berhak mendapat jaminan bahawa setiap individu yang diberi amanah mengurus aset strategik negara telah melalui penilaian yang paling ketat.

“Pelabuhan bukan sekadar pusat perdagangan. Ia merupakan pintu masuk ekonomi negara, benteng keselamatan maritim dan salah satu asas penting kepada kedaulatan Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kerajaan Malaysia, MMC Corporation serta semua pihak berkuasa berkaitan memberikan penjelasan secara terbuka mengenai proses penilaian dan due diligence yang telah dilaksanakan sebelum pelantikan berkenaan dibuat.

“Dalam soal aset strategik negara, ketelusan bukan satu pilihan, ia adalah satu kewajipan.

“Kedaulatan, keselamatan dan kepentingan jangka panjang Malaysia mesti sentiasa mengatasi segala pertimbangan yang lain,” katanya.– The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author