Connect with us

Terkini

40 NGO desak ISIS Malaysia mohon maaf jemput tokoh UAE Pro-Israel

Published

on

Foto: Tokoh Emiriah Arab Bersatu (UAE), Dr Ali Rashid Al Nuaimi.
  • Menerusi surat terbuka, 40 kumpulan NGO berkenaan menyatakan rasa kesal terhadap tindakan ISIS Malaysia memberikan pentas kepada Al Nuaimi dalam forum bertajuk “Combating Extremism: An Emirati Perspective” pada 9 Julai lalu.
  • Menurut kenyataan itu, pendirian Al Nuaimi yang secara terbuka mempertahankan hak Israel untuk wujud serta menyokong kesinambungan Perjanjian Abraham bercanggah dengan pendirian Malaysia dalam memperjuangkan hak dan kebebasan rakyat Palestin.
  • “Kami mahu semua pihak mengakui dan menerima hak kewujudan Israel, serta menyedari bahawa akar umbi orang Yahudi dan Kristian bukanlah di New York atau Paris, sebaliknya di rantau kita ini,” tegas Al Nuaimi menurut kenyataan tersebut.
  • “ISIS Malaysia sepatutnya memohon maaf secara terbuka kepada kerajaan dan rakyat Malaysia kerana memberikan beliau pentas untuk berucap,” kata kumpulan NGO itu.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 40 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia mendesak Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS Malaysia) memohon maaf secara terbuka susulan penganjuran sebuah forum yang menampilkan tokoh Emiriah Arab Bersatu (UAE), Dr Ali Rashid Al Nuaimi.

Menerusi surat terbuka bersama, kumpulan NGO berkenaan menyatakan rasa kesal terhadap tindakan ISIS Malaysia memberikan pentas kepada Al Nuaimi dalam forum bertajuk “Combating Extremism: An Emirati Perspective” pada 9 Julai lalu.

ISIS Malaysia dalam hantaran rasminya memaklumkan forum itu membincangkan pengalaman UAE dalam usaha menangani keganasan dan ekstremisme serta mempromosikan pendidikan, kewujudan bersama dan sikap saling menghormati. 

Al Nuaimi diperkenalkan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertahanan, Dalam Negeri dan Hal Ehwal Luar Majlis Kebangsaan Persekutuan UAE. 

Bagaimanapun, NGO terbabit mendakwa Al Nuaimi merupakan penyokong kuat hubungan UAE-Israel dan antara tokoh yang giat mempertahankan Perjanjian Abraham, perjanjian yang telah menjalin hubungan diplomatik antara Israel dan UAE, walaupun pada masa yang sama Israel terus melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, serta membunuh orang awam yang tidak berdosa dan merampas tanah di Tebing Barat.

Mereka turut merujuk penglibatan Al Nuaimi mengetuai delegasi parlimen UAE ke Knesset Israel pada Februari 2022. Lawatan itu merupakan kunjungan pertama delegasi rasmi Majlis Kebangsaan Persekutuan UAE ke Parlimen Israel. 

Menurut surat terbuka itu, pendirian Al Nuaimi yang secara terbuka mempertahankan hak Israel untuk wujud serta menyokong kesinambungan Perjanjian Abraham bercanggah dengan pendirian Malaysia dalam memperjuangkan hak dan kebebasan rakyat Palestin.

“Kami mahu semua pihak mengakui dan menerima hak kewujudan Israel, serta menyedari bahawa akar umbi orang Yahudi dan Kristian bukanlah di New York atau Paris, sebaliknya di rantau kita ini,” tegas Al Nuaimi menurut kenyataan tersebut.

Kenyataan ini menurut kenyataan itu secara jelas menunjukkan beliau samada seorang Zionis atau penyokong kuat Zionisme.

Al Nuaimi sebelum ini dilapor menyifatkan Perjanjian Abraham sebagai masa depan rantau berkenaan, selain mengutuk serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 sebagai tindakan keganasan. 

NGO terbabit berkata pandangan Al Nuaimi bertentangan dengan pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang secara konsisten mengutuk penjajahan, penindasan dan perampasan tanah rakyat Palestin oleh Israel.

Anwar dalam ucapannya pada 2 Julai lalu menyifatkan penderitaan rakyat Palestin sebagai sebahagian daripada penjajahan peneroka Zionis dan mempersoalkan bagaimana dunia boleh terus berdiam diri ketika penjajahan itu dilakukan tanpa hukuman. 

“ISIS Malaysia sepatutnya memohon maaf secara terbuka kepada kerajaan dan rakyat Malaysia kerana memberikan beliau pentas untuk berucap,” kata kumpulan NGO itu.

Antara pertubuhan yang menandatangani surat terbuka tersebut ialah BDS Malaysia, ABIM, Pertubuhan IKRAM Malaysia, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Viva Palestina Malaysia, MyCARE, Malaysian Relief Agency, ALIRAN dan Gerakan Tenaga Akademik Malaysia.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author