Terkini
Jerman cadang penjara individu nafikan hak Israel untuk wujud
- Bundesrat, dewan yang mewakili negeri-negeri di Jerman, menyokong rang undang-undang bagi menjadikan penafian terhadap hak Israel untuk wujud atau seruan menghapuskan negara itu sebagai satu kesalahan jenayah.
- Di bawah cadangan itu, individu yang membuat kenyataan sedemikian secara terbuka atau dalam sesuatu perhimpunan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau didenda.
BERLIN – Bundesrat, dewan yang mewakili negeri-negeri di Jerman, menyokong rang undang-undang bagi menjadikan penafian terhadap hak Israel untuk wujud atau seruan menghapuskan negara itu sebagai satu kesalahan jenayah.
Rang undang-undang yang diluluskan Bundesrat pada 10 Julai lalu mencadangkan pindaan terhadap Seksyen 130 Kanun Jenayah Jerman berkaitan kesalahan menghasut kebencian.
Di bawah cadangan itu, individu yang membuat kenyataan sedemikian secara terbuka atau dalam sesuatu perhimpunan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau didenda.
Bagaimanapun, hukuman hanya terpakai sekiranya kenyataan berkenaan dianggap boleh mendorong kesediaan untuk melakukan keganasan atau tindakan sewenang-wenangnya yang bersifat antisemitik.
Cadangan yang dibawa oleh kerajaan negeri Hesse itu bertujuan menangani apa yang disifatkan sebagai kelompongan dalam undang-undang sedia ada dan memperkukuh perlindungan terhadap masyarakat Yahudi di Jerman.
Namun, rang undang-undang tersebut belum berkuat kuasa dan masih perlu dibentangkan serta diluluskan oleh Bundestag, iaitu dewan rakyat Parlimen Jerman. Bundesrat hanya memutuskan untuk mengemukakan cadangan itu kepada Bundestag bagi melalui proses perundangan seterusnya.
Cadangan itu turut menerima kritikan berhubung kesannya terhadap kebebasan bersuara.
Bahagian Penyelidikan Bundestag dalam penilaian perlembagaannya memberi amaran bahawa rang undang-undang berkenaan berpotensi menjadi undang-undang khas yang menyasarkan satu pandangan politik tertentu dan mungkin bercanggah dengan perlindungan kebebasan bersuara di bawah Perkara 5 Perlembagaan Jerman.
Perkembangan itu dijangka mencetuskan perdebatan lanjut mengenai batas antara usaha memerangi antisemitisme dengan hak masyarakat untuk menyuarakan pandangan politik, termasuk kritikan terhadap Israel.-The Merdeka Times