Connect with us

Terkini

Nga Kor Ming label KPT ‘lembab seperti kura-kura’ dalam isu UEC

Published

on

Foto: Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
  • Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir membidas keras Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, susulan kenyataannya yang mengkritik serta melabelkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai “lembab seperti kura-kura” dalam melaksanakan keputusan berkaitan laluan kemasukan lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke universiti awam.
  • “Sekiranya terdapat sebarang perbezaan pandangan, tempat untuk membincangkannya ialah di meja Jemaah Menteri, bukannya melalui kenyataan terbuka yang tidak menghormati tatakelola Mesyuarat Jemaah Menteri,” -Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir membidas keras Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, susulan kenyataannya yang mengkritik serta melabelkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai “lembab seperti kura-kura” dalam melaksanakan keputusan berkaitan laluan kemasukan lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke universiti awam.

Zambry menyifatkan kenyataan terbuka anggota Jemaah Menteri itu sebagai tidak bertanggungjawab dan tidak menghormati tatakelola Mesyuarat Jemaah Menteri.

“Saya memandang serius dan membidas sekeras-kerasnya kenyataan tidak bertanggungjawab Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Nga Kor Ming, yang mengkritik serta melabelkan Kementerian Pendidikan Tinggi sebagai ‘lembab seperti kura-kura’ berhubung pelaksanaan keputusan berkaitan laluan kemasukan lepasan UEC ke universiti awam,” katanya dalam kenyataan pada 11 Julai 2026.

Zambry menegaskan bahawa setiap keputusan yang dipersetujui oleh Jemaah Menteri merupakan keputusan bersama yang berlandaskan prinsip tanggungjawab kolektif.

Menurutnya, pelaksanaan sesuatu keputusan tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa kerana memerlukan tindakan menyeluruh serta penyelarasan antara KPT, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pelbagai agensi berkaitan.

Beliau berkata sebarang perbezaan pandangan dalam kalangan anggota Kabinet sepatutnya dibincangkan secara dalaman di meja Jemaah Menteri, bukannya dibawa kepada khalayak menerusi kenyataan terbuka.

“Sekiranya terdapat sebarang perbezaan pandangan, tempat untuk membincangkannya ialah di meja Jemaah Menteri, bukannya melalui kenyataan terbuka yang tidak menghormati tatakelola Mesyuarat Jemaah Menteri,” tegasnya.

Nga sebelum ini dilaporkan mengkritik kelewatan pelaksanaan laluan kemasukan lepasan UEC ke universiti awam dengan menggunakan ungkapan yang menggambarkan KPT bergerak perlahan seperti kura-kura.

Kenyataan itu dilaporkan dibuat ketika beliau berkempen di Kampung Abdullah, Segamat dalam Pilihan Raya Negeri Johor lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, KPT pada 14 Mei lalu mengumumkan beberapa ketetapan mengenai laluan kemasukan pelajar di luar Sistem Pendidikan Kebangsaan ke institusi pendidikan tinggi awam.

Ketetapan itu merangkumi pelajar daripada institusi tahfiz, sekolah swasta dan Sekolah Menengah Persendirian Cina, termasuk pemegang UEC, bagi mengikuti program tertentu yang dikenal pasti oleh institusi terlibat.

Bagaimanapun, KPT sebelum ini menjelaskan bahawa langkah membuka laluan permohonan kepada pemegang UEC tidak bermaksud kerajaan memberikan pengiktirafan umum terhadap sijil berkenaan.

Bagi lepasan UEC, laluan tersebut melibatkan kursus tertentu dalam bidang Bahasa dan Kesusasteraan Cina, selain tertakluk kepada syarat memperoleh kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan lulus Sejarah pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author